Nasional

Suami isteri disyaki bekal senjata kepada warga Israel mengaku tak salah

PASANGAN suami isteri mengaku  yang disyaki membekalkan senjata api kepada warga Israel, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan yang berkaitan dengan pemilikan senjata api berkenaan.

Namun Abdul Azim Mohd Yasin, 43, dan Sharifah Faraha Syed Husin, 41, mengaku tidak bersalah.

Kedua-duanya membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan kepada mereka di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan jika sabit kesalahan.
Abdul Azim pula didakwa ada bersama Sharifah Faraha, dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia tahu isterinya itu memiliki senjata api berkenaan pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman serupa, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Fazeedah Faik tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan di bawah Akta Senjata Api penalti lebih berat merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Pasangan suami isteri itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan kes.
Pada 29 Mac lepas, pasangan suami isteri itu ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor atas kesalahan memiliki senjata api.
Mereka disyaki membekalkan enam pucuk pistol kepada seorang lelaki warga Israel yang ditahan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, dua hari sebelum itu. – SM
(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button