Suami dan perniagaan jadi keutamaan Intan Ladyana
Menjadi antara pasangan selebriti yang disatukan dalam tempoh pandemik. Ternyata ini pengalaman berharga buat Intan Ladyana dan suaminya Harris Alif.
Mengakui tempoh 10 bulan bergelar sebagai suami isteri ini sebagai sesuatu yang cukup manis ketika ini perkongsian hidup mereka juga turut disusuli dengan kehadiran Anugerah.
Bercerita mengenai anugerah, kongsi Intan dia dan suaminya bersyukur untuk diberi peluang oleh Nori Malaysia Sdn Bhd. untuk memperkenalkan produk wangian mereka dibawah jenama Anugerah.
Melihat ini sebagai permulaan untuk mereka lebih serius dalam bidang perniagaan, jelas Intan lagi menjadi impiannya agar dapat mempelbagaikan produk di bawah jenama yang sama.
“Anugerah sudah mempunyai dua produk, satu Anugerah Body Mist dan Anugerah Fantasy. Malah saya dan suami juga dalam rancangan untuk memperkenalkan Anugerah Man. Ketika ini produk kami sudah berada di lapan Aeon di seluruh negara. Insya Allah pada tahun ini juga produk kami akan berada di lima lokasi lain antaranya di Pantai Timur.
“Mengapa saya dan suami memilih Anugerah, sebagai jenama produk wangian kami. Tajuk lagu Harris berjudul Anugerah dan lagu ini sempena hari perkahwinan kami. Jadi perkataan Anugerah itu sendiri cukup istimewa buat kami berdua,”katanya.
Memilih untuk mengeluarkan Body Mist berbanding minyak wangi, kata Intan sebagai seorang ahli perniagaan dia dan suami sangat berhati-hati dalam memperkenalkan produk di bawah jenamanya. Malah ketika ini dia juga tidak sekadar mahu mengikut rentak orang lain untuk berniaga.
“Bila pihak Nori Malaysia memilih kami untuk mengeluarkan produk wangian, saya dan Harris memang melihat Body Mist sebagai satu pilihan yang baik. Sebabnya fokus kami sendiri adalah untuk menghasilkan produk yang dapat menambat hati pengguna dari pelbagai peringkat umur.
“Kita tahu Body Mist lebih ekonomi selain boleh dipakai pada bila-bila masa . Berbeza dengan minyak wangi yang mungkin hanya boleh dipakai pada waktu tertentu. Paling penting kami mahu Body Mist Anugerah ini mudah dibawa ke mana-mana,”kongsinya lagi.
Sementara itu bagi Harris pula, dia melihat peluang yang diberikan Nori Malaysia sebagai satu lagi cabang perniagaan yang ingin diceburinya. Walaupun hadir dalam tempoh pandemik kira-kira setahun lalu namun dia sentiasa percaya dengan kemampuan perniagaan ini.
“Bila Nori Malaysia tawarkan untuk jalin kerjasama, kami tidak mengambil masa yang panjang untuk setuju. Antara sebab mengapa kami yakin dengan Nori Malaysia juga kerana ramai lagi rakan artis lain turut menjalinkan kerjasama.
“Selain itu, walaupun tawaran untuk memperkenalkan Anugerah dalam tempoh pandemik apa yang kami bersyukur bagaimana sambutan yang diberikan sangat baik. Malah selepas hampir setahun berada di pasaran kami juga sudah mempunyai dua produk dan ini adalah progres yang baik,”,tambahnya.
Rezeki selepas kahwin
Berkongsi kehidupan selepas berkahwin, jelas Intan pastinya fokusnya kini lebih kepada keluarga. Malah kehidupan sebagai isteri juga menuntut dia untuk lebih teliti sebelum menerima apa-apa tawaran dalam memastikan tidak mengganggu tanggungjawab utamanya.
“Memang ada yang berubah selepas berkahwin pastinya keutamaan saya kepada keluarga kini. Pada tempoh sekarang juga saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Fokus saya kini bukan kepada kerjaya sahaja tetapi juga keluarga, jadi saya perlukan kehidupan yang seimbang.
“Sebab itu saya agak memilih tawaran selepas berkahwin, selepas bergelar isteri saya tahu tanggungjawab utama saya adalah untuk menguruskan keluarga. Tetapi Alhamdulillah rezeki selepas berkahwin itu lebih murah,”jelasnya.
Sementara itu mencari jawapan disebalik teka teki yang kini sibuk diperkatakan, Intan lebih senang untuk tidak membuka mulut lagi. Menolak soalan ini kepada suaminya untuk menjawab, ketika ini jelas Harris dia dan Intan lebih senang untuk menunggu waktu yang sesuai.
“Tiada apa yang boleh saya kongsi lagi, tetapi saya berjanji kalau ada waktu yang sesuai untuk kami kongsikan berita yang gembira kami akan berbuat demikian.
“Cuma buat masa ini, apa yang kami minta daripada peminat di luar sana adalah doa-doa ikhlas kalian. Terus doakan kebahagian saya dan Intan,” harapnya. -SM