Nasional

Strategi salah BN ‘KL’ kan Kimanis?

Komentar

ADAKAH strategi pembangkang Barisan Nasional (BN) – tepatnya UMNO – meng`KL’kan kawasan pilihan raya kecil Kimanis suatu kesilapan besar mereka?

Taktik ‘PRK Tg Piai’ yang menang majoritinya 15,000 undi disebut-sebut `hingga la ni’ diangkut ke Kimanis ini, dengan lagak memekik melolong menyerang Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Boleh pakai kah?

Mengata macam-macam, ketua menteri `berbini dua lah, beri projek pada kroni sana sini’, `termakan’ kah dek pengundi?

Adakah kelibat pemimpin dari Semenanjung seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (sekadar menyebut beberapa nama) diperlukan di Kimanis?

Kalau betul UMNO hendak bagi autonomi kepada UMNO Sabah, mengapa tak serahkan sahaja urusan kendalikan jentera BN kepada ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin atau setidak-tidaknya Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan?

Suara Merdeka merisik-risik komen penduduk tempatan di Membakut malam tadi. Dua tiga orang yang agak pedas bacaan politik mereka bertanyakan balik kepada portal ini, “apasal lah Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) tu sampai begitu sekali tersasul labelkan Shafie ‘Filipina (Warisan), BN itu Malaysia’. Marah rakyat Sabah pada Tok Mat.

BN harus ingat, kemenangan mereka dalam tiga PRK sebelum ini di Tg Piai, Semenyih, Cameron Highlands bukanlah pasport mereka untuk akses di Kimanis.

Semaklah keputusan PRK Parlimen Sandakan 11 Mei tahun lalu. Calon PH dari DAP, Vivian Wong bukan saja menang besar majoriti 11,521 undi meninggalkan 4,491 undi untuk calon BN, tetapi lebih besar dari itu, UMNO hilang sokongan di dua daerah mengundi. Dua dua PDM ini majoritinya pengundi Bumiputera Islam iaitu Sim-Sim dan Pulau Berhala – yang memihak Vivian.

Dipercayai di Sandakan, lebih 5,000 undi bumiputera Islam beralih kepada DAP. Sudah hilang cengkamankah UMNO di Sabah?

Jentera UMNO ke Kimanis usah terlalu `bercita-cita’ besar. Mohd. Shafie `orang sini’. Calon Warisan, Datuk Karim Bujang popular lagi.

Dulu, anda UMNO ada missionary dan duit untuk angkut pengundi, penyokong guna van dari sana sini. Sekarang jentera itu bersama Mohd. Shafie. BN kini tidak ada jentera yang kuat.

 

Sepatutnya kalau hendak bawa isu, bolehlah dibawa polemik PTPTN. Libatkan pelajar-pelajar Melayu Brunei sama. Atau kumpulkan peniaga-peniaga yang tersepit oleh kerana kenaikan harga barang dan kos sara hidup disebabkan flip flop kerajaan PH. Malangnya, ini tidak dilakukan.

Asyik-asyik sibuk menyerang peribadi dan keluarga Mohd. Shafie. Padahal pengundi Melayu Brunei cukup terjaga pekerti mereka. Budaya mereka tidak suka bergaduh atau mengata orang.

BN juga mesti ingat meskipun masyarakat Kadazandusun yang mewakili 45 peratus daripada 29,805 pengundi Parlimen Kimanis ada sebahagiannya tidak gemar dengan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS), Mohd. Shafie ada orang kuatnya, Datuk Peter Anthony.

Beliau yang juga Naib Presiden Warisan merangkap Menteri Infrastruktur negeri adalah Presiden Persatuan Kadazandusun Murut (KDM) Malaysia yang mudah untuk membekalkan `air penawar’ menyakinkan pengundi etnik itu tidak termakan dakyah BN.

Dan apatah lagi menantu bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman sendiri, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif kini bersama Parti Bersatu sibuk berkempen untuk calon Warisan. Apa agaknya kelemahan kerajaan negeri yang lepas dikongsi beliau dengan pengundi.

Jentera BN mesti `micro manage’ dalam kempennya di Kimanis yang sudah masuk hari ketujuh.

Dengan akses Internet agak sukar di kawasan PRK ini, kempen konvensional secara berkelompok masih relevan. ‘Penangan’ Bosskurr yang mengancam PH di Semenanjung, sukar menembusi sekitar 19 PDM di Kimanis ini. Ini bermakna Pak Jib kena turun padang lagilah.

Politik bangsa dan pembangunan menjadi isu penting di Kimanis. Bukannya budaya menyerang peribadi atau pendek kata, meng’KL’ kan atau meng’Kuala Lumpur’kan Kimanis menjadi tarikan pengundi.

Apa pun kita akur akhirnya PRK Kimanis hanya untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen. Menang atau kalah tidak akan mengubah kerajaan negeri Sabah diterajui Mohd. Shafie. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button