PILIH calon atau pilih parti? Itu persoalan yang bersifat individualistik kerana masing-masing ada jawapan yang tersendiri. Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, siapakah yang akan diletakkan sebagai calon dari UMNO? Ini kerana pastinya parti keramat orang Melayu dan gah itu tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Bagi penganalisis politik berpenglaman, Datuk Saiful Bahar Arshad, beliau mempunyai bacaan tersendiri dan berkongsi dalam BELANG BERTEMPAT di SUARA MERDEKA.
Dizahirkan apa yang dinyatakan oleh Saiful kepada wartawan SUARA MERDEKA, beliau berkata, terdapat pemilihan calon-calon UMNO yang tersalah pilih menyebabkan berlakunya pergaduhan di akar umbi dan perbuatan sabotaj dalam parti.
Itulah yang menyebabkan calon-calon UMNO kalah pada PRU-14 yang lalu.
“Hanya dengan 10% peratus pengundi-pengundi Melayu dan UMNO swing atau beralih kepada calon pembangkang, sudah cukup untuk mengalahkan calon-calon UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata, calon-calon UMNO juga tewas dengan permainan persepsi politik yang digengami atau mastered oleh pihak pembangkang .
“UMNO dan BN walau pun sudah memerintah selama 61 tahun, mempunyai kekuatan dari segi kewangan tetapi UMNO masih lagi kalah dalam Permainan Persepsi Politik di media sosial.
“UMNO tidak berjaya mengawal media sosial agar berpihak kepada mereka manakala parti-parti politik pembangkang menguasai semua platform media sosial sehinggakan sebarang berita yang separuh benar, bohong dan fitnah, pun dianggpa sebagai perkara yang benar,” ujar Saiful.
Beliau berkata, Kerajaan BN ketika sebelum pemerintahan Pakatan Harapan (PH) terlalu lembab untuk bertindak balas atau respons kepada isu-isu yang dibawa oleh parti pembangkang.
Kemungkinan kerana sudah 61 tahun memerintah, UMNO merasakan menjawab isu-isu ini tidaklah penting dan merasakan mana mungkin rakyat mempercayai semua isu-isu tersebut, katanya.
Parti komponen dalam BN iaitu MCA dan Gerakan dilihat sudah tidak lagi dipercayai oleh pengundi-pengundi kaum Cina, tekan Saiful.
“Pengundi-pengundi Cina sudah hilang kepercayaan kepada parti MCA dan Gerakan. Mereka lebih selesa menyokong DAP.
“Jelas kelihatan MCA dan Gerakan hanya memperoleh di antara 5% ke 3% peratus sahaja undi daripada kaum Cina pada PRU-14 yang lalu.
“Walaupun MCA mempunyai lebih kurang 900,000 ahli parti, yang jelas kelihatan ahli-ahli MCA sendiri pun tidak mengundi calon-calon dari Barisan Nasional dan UMNO,” ujar Saiful.
Tambah beliau lagi, kaum Cina merasakan DAP dan Lim Guan Eng akan lebih efektif memperjuangkan hak-hak orang Cina di negara ini.
“MCA sudah kehilangan keyakinan dan sokongan dari pengundi-pengundi Cina,” simpul Saiful.
Untuk menang pada PRU- 15 nanti, kata Saiful secara telus, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, UMNO, BN, PN dan GPS Sarawak perlu melakukan beberapa perkara yang penting.
“Pertama, masa atu timing yang tepat untuk mengadakan PRU-15. Ini semua tentang masa yang tepat. Jadi, PM perlu pilih timing yang tepat untuk adakan PRU ke 15.
“Waktu yang paling tepat ialah apabila ada satu perasaan feel good factor dan pandemik Covid-19 dapat dikawal dengan baik. Ada success story dan UMNO, BN, PN serta GPS sudah bersedia,” ujar beliau.
Beliau juga berkata, pemilihan calon-calon yang tepat, boleh menang dan disukai ramai oleh akar umbi juga merupakan satu faktor yang utama.
“Kurangkan sabotaj di Bahagian-Bahagian. Tackle dahulu pihak-pihak yang merajuk kerana tidak dapat jadi calon. Ini adalah penting.
“Satu lagi ialah pemimpin-pemimpin UMNO yang bermasalah perlu berkorban dan memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin pelapis untuk mengambil alih,” kata Saiful dan semestinya, apa yang dinyatakan oleh beliau adalah pada perspektif individual.
Setuju dengan pandangan Saiful, kerjasama politik perlu ada dan menurut Saiful, UMNO dan BN perlukan satu kerjasama politik yang kukuh bersama parti-parti politik yang lain.
“UMNO tidak boleh pergi solo. Mana mungkin UMNO atau BN bersendirian atau on it’s own boleh menang 120 kerusi Parlimen.
“UMNO dan BN perlukan kerjasama politik bersama Perikatan Nasional, (BERSATU, PAS) dan GPS Sarawak. Sama seperti kerjasama politik yang sedang dilakukan di dalam Kerajaan yang baharu dibentuk oleh Ismail Sabri.
“Orang-orang Melayu mahu melihat tiga parti Melayu terbesar ini bergabung dalam PRU-15 nanti.
“Konsep satu (PN, BN & GPS) lawan satu (PH, Warisan, Pejuang, UPKO) akan memperlihatkan peluang untuk PN, BN dan GPS menang lebih besar,” bidik Saiful.
Beliau juga berkata, daripada pertandingan tiga penjuru, yang akan merugikan nanti ialah UMNO, BN, PN dan GPS.
UMNO dan BN memerlukan sekurang-kurangnya sokongan daripada 5 juta pengundi untuk menang pada PRU-15 nanti, katanya.
“Dengan sokongan 5 juta pengundi, barulah UMNO dan BN akan kembali memerintah Kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri yang penting.
“Ini bermakna, sokongan daripada keseluruhan 3 juta ahli UMNO yang boleh mengundi tidak cukup untuk UMNO menang PRU-15.
“UMNO memerlukan pengundi-pengundi atas pagar, pengundi tidak berparti dan sebagainya. Kerana itulah, konsep UMNO akan pergi solo tanpa kerjasama politik dengan mana-mana pihak, adalah satu strategi yang salah dan mengundang kekalahan,” kata Saiful. – SM