Nasionalpilihan

Serang polis dan rosakkan jentolak di hadapan tokong, empat lelaki ditahan

HANYA kerana tidak mahu kawasan tokong yang dibina di atas tanah kerajaan diganggu bagi tujuan membina laluan ke sekolah, kira-kira 30 individu telah bertindak agresif dengan menghalang dan menyerang polis di Salak Selatan, Cheras hari ini.

Kira-kira pukul 11.45 pagi hingga 4 petang tadi, satu operasi telah dijalankan oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) untuk membina pagar penghadang ‘Hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.

Di dalam operasi tersebut, pihak polis telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, semasa operasi sedang dijalankan terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi.

“Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas ditempat kejadian.

“Dalam insiden tersebut, kita telah menahan empat lelaki berumur antara 19 tahun hingga 50 tahun untuk disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Idzam, satu video berkaitan isu ini telah dimuat naik di Facebook bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.

Jelasnya, polis menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Mohamad Sukri Ishak di talian 013-2165881 atau mana-mana balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan. -SM

(Visited 695 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button