Status OKU tidak halang pemuda ini bantu mangsa banjir
HANYA berkaki sebelah dan bergantung kepada tongkat untuk bergerak, tidak menghalang Zul Muaz, 21, turun padang memberi bantuan dan membersihkan rumah mangsa banjir di Lipis, Pahang.
Zul menyertai Jabatan Amal Malaysia, anjuran PAS, bagi membantu mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setelah rumah mereka digenangi air sejak minggu lalu.
Selain membantu membersihkan rumah mangsa, Zul juga membawa sukarelawan dan barangan bantuan dengan kereta yang diubah suai ke lokasi banjir dan PPS.
Zul telah menjadi tumpuan orang ramai termasuk mangsa banjir yang dibantunya kerana berstatus OKU.
Namun, perkara itu tidak membuat Zul berasa kekok atau malu dengan kukurangannya.
“Pergi mana-mana pun orang akan pandang pelik, ialah ada satu kaki, tetapi saya hadapi sahaja, sebab pada saya, itu semua terletak pada diri sendiri.
“Jika kita ada kemahuan untuk membantu, tak kisah keadaan anggota kita sempurna atau tidak kita pasti boleh lakukan.
“Saya rasa puas bila dapat tolong orang. Saya tolong setakat yang saya mampu walaupun ada juga terselit rasa ralat tak boleh nak buat macam mana orang lain buat. Memang ada terlintas kalau sihat macam dulu mesti boleh buat semua benda,” katanya kepada FMT.
Zul kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya pada 2017 selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar lori.
Sementara itu, Penyelaras Khidmat Malaysia Lipis, Roslan Zainal, berkata lebih 20 rumah, sebuah masjid dan balai raya telah dibersihkan sepanjang dua hari misi bantuan dilancarkan.
Tambahnya, bantuan barangan keperluan juga turut disalurkan kepada mangsa.
“Bagi bantuan pasca air surut, agihan barangan keperluan asas berupa makanan dan keperluan peribadi asas serta khidmat cuci akan diusahakan,” katanya.
Hampir 1,000 penduduk membabitkan 309 keluarga terjejas akibat banjir di Lipis setakat ini dan terpaksa dipindahkan ke PPS.-SM