Nasional

SPRM gagal lucut hak wang lebih RM2 juta milik UMNO Selangor

WANG berjumlah RM2,738,525.08 yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Selangor, yang didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal dilucuthakkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah Tinggi membuat keputusan menolak permohonan pendakwa raya selaku pemohon terhadap badan politik itu sebagai responden.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya berkata, pemohon gagal membuktikan wang yang disita itu adalah hasil daripada aktiviti haram, selain wang yang dikatakan diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah lama habis digunakan.

“Pihak pemohon juga tidak mencabar akaun dan penyataan dikemukakan dalam afidavit responden. Mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang disita adalah hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, manakala peguam Datuk Hasnal Rezua Merican dan Muzzammil Merican mewakili Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwa raya terhadap UMNO Selangor mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

(Visited 275 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button