PRN Melaka: SPR keluarkan 7,601 kertas undi pos
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 7,601 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Negeri Melaka Ke-15.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri.
“Kesemua 7,601 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 6,871 kategori Borang 1A bagi petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera, dan petugas media.
“511 undi pos bagi kategori Borang 1B bagi warganegara Malaysia yang berada di luar negara, 113 kategori Borang 1C bagi sembila agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan dan 106 pengundi tidak hadir (PTH) Luar
Negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.
SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5.00 petang pada hari mengundi iaitu pada 20 November.
Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. -SM