Spana jatuh dari tingkat 8 terpacak atas kepala lelaki
KEPALA seorang lelaki berlubang selepas sebuah spana yang jatuh dari tingkat 8 tepat mengenai kepalanya sekaligus menembusi tempurung kepala.
Kejadian malang itu berlaku ketika yang tidak bernasib baik itu sedang melalui sebatang jalan di Shenyang yang terletak di Lioning, China bersama seorang rakannya.
Spana sepanjang 8 inci itu dijatuhkan oleh seorang juruteknik secara tidak sengaja ketika dia sedang memasang sebuah unit penyaman udara di tingkat lapan bangunan terbabit.
Rakan kepada lelaki malang itu berkata, dia hanya menyedari kejadian tersebut apabila lelaki itu menjerit kesakitan selepas berlaku bunyi kuat dari arah kepala lelaki tersebut. Dia kemudian mendongak ke atas dan melihat juruteknik berkenaan yang turut terkejut dengan kejadian berkenaan.
Gambar mengerikan yang tersebar di media sosial menunjukkan mangsa duduk di atas jalan dengan wajah penuh kesakitan sambil tangannya memegang spana yang terpacak di kepalanya.
Rakan lelaki itu kemudaiannya menelefon talian kecemasan dan van ambulan tiba tidak beberapa lama kemudian untuk membawa mangsa ke hospital.
“Kami melihat pesakit masih lagi sedar sejurus tiba di hospital. Dia masih boleh menggerakkan kaki dan tangannya. Dia hanya mengalami pening-pening di kepala,” kata Dr. Bao Min, pakar neurosurgeon di Hospital Shenjing. Imej CT Scan menunjukkan spana tersebut menembusi tempurung kepala mangsa.
“Kita boleh melihat banyak retakan pada tempurung kepala dan ini amat membahayakan nyawa pesakit,” kata Dr. Bao Min.
Mangsa yang berusia 50 tahun itu bagaimanapun dilaporkan selamat daripada kejadian malang berkenaan. Dia berada dalam keadaan stabil selepas doktor berjaya mengeluarkan spana berkenaan dalam operasi pembedahan yang mengambil masa kira-kira tiga jam.
Bagaimanapun lelaki malang itu terpaksa tinggal di hospital dalam tempoh yang lama untuk rawatan susulan.
“Mangsa bernasib baik kerana dia mempunyai tubuh yang kuat dan tempurung kepala yang tebal. Jadi spana tidak tertusuk dengan dalam.
“Jika spana ini jatuh di atas kepala seorang kanak-kanak atau wanita, keadaan mungkin menjadi lebih teruk dari apa yang dialami oleh lelaki ini,” kata Dr. Bao Min.-SM