Politik

Sokongan majoriti terhadap Anwar: Esok kita tahu – Tun M

DAKWAAN sama ada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan 113 anggota Parlimen atau tidak akan diketahui esok.

Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dakwaan itu boleh dibuktikan melalui pengundian terhadap Belanjawan 2021 yang akan melalui proses bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat esok.

“Esok kita akan tahu, sebab esok kita akan mengundi,” kata Dr. Mahathir dalam sidang akhbar khas bersama-sama dengan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini.

Beliau ditanya mengenai dakwaan kononnya Anwar mempunyai sokongan 113 ahli Parlimen Dewan Rakyat termasuk 10 ahli Parlimen UMNO bagi membentuk kerajaan yang baharu.

Dr. Mahathir berkata, tidak ada gunanya seseorang mempunyai akuan bersumpah bagi membuktikan dia mempunyai sokongan ahli Parlimen. Ini kerana ahli Parlimen terbabit boleh mengubah pendirian pada bila-bila masa.

“Soal akuan bersumpah ini banyak, semua orang tandatangan. Dulu sokong saya 100 peratus, pembangkang sokong, kerajaan sokong tapi menang. Bila mereka buat pilihan, mereka buat yang lain.

“Surat akaun tidak dikira. Apa yang diambil kira adalah apa yang berlaku di Parlimen, sama ada ahli Parlimen mahu lakukan sesuatu untuk negara ini atau tidak,” kata Dr. Mahathir.

Sementara itu Dr. Mahathir berkata, Ketua Pembangkang tidak memiliki apa-apa kuasa terhadap ahli Parlimen Pembangang.

Katanya, ahli Parlimen bebas untuk membuat keputusan sendiri. Justeru katanya, dia tidak perlu merayu sokongan dan kesetiaan daripada ketua pembangkang.

“Ketua Pembangkang tidak mengawal semua ahli Parlimen Pembangkang. Kami bukan dibawah beliau.

“Dia dipilih sebagai ketua pembangkang tapi dia tidak mengawal kami. Ahli Parlimen pembangkang boleh lakukan apa yang mereka ingini.

“Jadi saya tidak perlu rayu sokongan, kesetiaan dan sebagainya kepada ketua pembangkang,” kata Dr. Mahathir.

Dalam sidang akhbar itu Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh berikrar untuk bekerjasama membina semula negara menjadi ‘harimau Asia’.

Mereka meramalkan bahawa Kerajaan Pakatan Nasional akan jatuh esok kerana gagal untuk mendapatkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk meluluskan Belanjawan 2021 bagi bacaan kali ketiga.

Bagaimanapun sejak Belanjawan 2021 dibentangkan pada peringkat dasar pada 26 November lalu sehinggalah pada peringkat jawatankuasa hari ini, ahli Parlimen pembangkang tidak berjaya untuk menggagalkan Belanjawan 2021 dalam beberapa percubaan undi belah bahagi.-SM

(Visited 725 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button