Sokong Tun M: Pas bazir masa Parlimen bukan main pandai, sindir Hannah
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Hannah Yeoh menyindir langkah Pas untuk mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk menyokong kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga penggal Parlimen ke-14 tamat.
Ahli Parlimen dari DAP itu berpendapat, Pas hanya pandai membazirkan masa Parlimen namun menolak belanjawan untuk golongan OKU, warga emas dan kanak-kanak di Dewan Rakyat.
“PAS bazir masa Parlimen bukan main pandai tapi undi belanjawan untuk bantuan kebajikan bagi golongan OKU, warga emas dan kanak-kanak, mereka tolak dalam sidang (Dewan Rakyat) yang lepas,” kata Hannah dalam hantaran di Facebook beliau.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini berkata, usul menyokong Dr. Mahathir itu berkepentingan awam dan akan dibuat pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula bulan depan.
BACA JUGA: Pas bawa usul ke Parlimen sokong Dr. Mahathir hingga habis penggal
Menurutnya, 19 Ahli Parlimen PAS akan menyokong usul tersebut bagi membolehkan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga akhir penggal Parlimen ke-14.
Hannah pada November tahun lalu hampir dimalukan apabila 28 ahli Parlimen pembangkang termasuk Pas yang mengundi tidak bersetuju Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 untuk memberi peruntukan kepada golongan OKU, warga emas dan kanak-kanak yang dibentang oleh beliau.
BACA JUGA: Jangan usik bajet golongan memerlukan – Hanna Yeoh
Pengundian RUU itu pada 26 November 2018,agak terlewat disebabkan beberapa ahli Parlimen tidak berada di dalam dewan semasa Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan supaya pengundian dibuat.
Kelewatan itu mencetuskan pertikaman lidah antara ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan, bagaimanapun kesudahannya, rang undang-undang itu diluluskan dengan 45 menyokong dan 28 orang menolak.
Berikutan itu Hannah memaparkan senarai nama 28 ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong peruntukan terbabit.
BACA JUGA: Hannah Yeoh jawab kritikan
“Untuk kali pertama ada ahli Parlimen tidak setuju dengan bajet KPWKM. Bajet ini termasuk bajet kementerian untuk kebajikan bagi Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak, ia penting untuk masyarakat.
“Ia tidak boleh tergendala, saya terkejut ada Ahli Parlimen yang memainkan isu politik untuk mengundi tidak setuju dengan bajet kebajikan ini. Kalau ingin main politik, main di tempat lain tapi jangan usik bajet golongan memerlukan,” katanya pada sidang media di Parlimen.
BACA JUGA: Alahai Hannah Yeoh, tidak mahu marah MP PH?
Pihak pembangkang kemudiannya membalas tindakan Hannah dengan mengeluarkan senarai nama 107 ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir untuk menyokong peruntukan tersebut.-SM