fbpx
Politik

Alahai Hannah Yeoh, tidak mahu marah MP PH?

NAMPAKNYA marah betul Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh apabila 28 Ahli Parlimen pembangkang mengundi tidak bersetuju pada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya, Selasa lepas.

Kata Hannah, peruntukan membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia adalah untuk kebaikan mereka yang memerlukan terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40 ).

Timbalan Menteri DAP itu juga berkata, Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan perkara itu perlu menjawab kepada pengundi di kawasan mereka.

“Bajet ini termasuk bajet kementerian untuk kebajikan bagi Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak, ia penting untuk masyarakat. Ia tidak boleh tergendala.

“Saya terkejut ada Ahli Parlimen yang memainkan isu politik untuk mengundi tidak setuju dengan bajet kebajikan ini. Kalau ingin main politik, main di tempat lain tapi jangan usik bajet golongan memerlukan,” kata Hannah.


Marahnya Hannah dan Pakatan Harapan terhadap Ahli Parlimen pembangkang yang tidak mengundi ini sampaikan nama mereka dihebahkan di media sosial oleh cybertroopers pro-Pakatan Harapan.

Apa yang penting sekarang mungkin Hannah boleh bertanya sendiri kepada satu persatu Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang tidak hadir semasa undi tersebut dibuat.

Bak kata Ahli Parlimen BN-Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar, kenyataan Hannah umpama meludah ke langit terkena ke muka sendiri.

“PH ada 139 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Hanya 32 Ahli Parlimen PH yang hadir menyokong bajet Kementerian Wanita dibawah Timbalan Perdana Menteri.

“Baki Ahli Parlimen PH yang lain setuju atau tidak? Kalau setuju kenapa tak hadir mengundi? Ini yang orang kata meludah ke langit terpalit ke muka sendiri,” kata Noh.

Mungkin sebelum Hannah marah-marah kepada 28 wakil rakyat pembangkang itu, boleh kiranya Hannah terangkan kepada rakyat yang mahu mengetahui mana perginya 107 Ahli Parlimen Pakatan Harapan tersebut?

Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang tidak hadir ialah 37 orang daripadanya Ahli Parlimen PKR, 30 Ahli Parlimen DAP, 24 Ahli Parlimen Bersatu, Sembilan Ahli Parlimen Amanah dan tujuh Ahli Parlimen Warisan. Di mana mereka ketika Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 KPWKM dibentangkan?

Tidakkah Ahli Parlimen kerajaan tahu tanggungjawab mereka sangat besar untuk memastikan peruntukan kepada golongan yang memerlukan ini diluluskan. Adakah mereka mengharapkan Ahli Parlimen pembangkang seratus peratus mengundi bagi pihak mereka?

Mana perginya rasa tanggungjawab dan amanah rakyat yang diberikan kepada mereka sebagai wakil rakyat.

Apa yang mereka mahu jawab kepada rakyat jika peruntukan tersebut tidak diluluskan? Adakah mereka mahu kata, ‘ini semua salah Ahli Parlimen pembangkang kerana menolak’?

Jadi Hannah, tolonglah jangan terus-terusan salahkan pembangkang. Beritahulah kepada Ahli Parlimen kerajaan bahawa sejuknya dewan, penatnya mereka bekerja dan bisingnya pembangkang bukan alasan yang mahu didengar oleh rakyat untuk mereka tidak hadir di Dewan Rakyat.-SM

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button