Ekonomi

SME Bank meneruskan inisiatif bantu PKS di Wilayah Utara

USAHAWAN PKS di utara tanah air terus mendapat sokongan SME Bank apabila Pusat Wilayah Utaranya yang merangkumi dua cawangan iaitu Pusat Enterpris Seberang Jaya dan Pusat Enterpris Alor Setar, sehingga Oktober 2021, telah berjaya meluluskan pembiayaan bernilai RM174 juta kepada lebih 119 orang pelanggan. Pencapaian ini ialah 109 peratus melebihi sasaran kelulusan untuk tahun 2021 iaitu RM160 juta.

Tan Sri Noh Haji Omar

Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) YB Tan Sri Noh Haji Omar, sewaktu menghadiri Program Jom XCESS SME Bank Wilayah Utara berkata, “Selain bantuan pembiayaan, inisiatif khusus untuk memperkasakan usahawan sektor pelancongan turut membuahkan hasil apabila SME Bank telah meluluskan kemudahan PENJANA Tourism Fund (PTF) bernilai RM1.6 juta kepada 7 orang usahawan, yang terdiri daripada 6 buah syarikat dari Kedah dan sebuah syarikat di Pulau Pinang. Secara keseluruhannya, setakat Oktober 2021, 43 buah syarikat PKS telah menerima pembiayaan PTF daripada SME Bank bernilai RM8.8 juta.”

YB Tan Sri mengulas lanjut, “Sektor pelancongan antara sektor utama penyumbang kepada KDNK yang juga membawa limpahan kepada sektor lain dalam pembangunan ekonomi negara. Tahun 2020 menyaksikan aktiviti berkaitan pelancongan menyumbang 14% kepada KDNK Malaysia dan 23.1% guna tenaga negara. Langkah SME Bank serta agensi-agensi lain untuk turun padang bagi mendekati usahawan sektor ini melalui Program Jom XCESS SME Bank amat penting agar bantuan dapat disalurkan secara tepat, menyeluruh dan memenuhi keperluan perniagaan mereka terutamanya pada waktu kritikal ini.”

Aria Putera Ismail

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “Platform Jom XCESS memberi peluang kepada kami untuk berhubung, berbincang dan menawarkan bantuan kepada lebih ramai usahawan PKS. Secara keseluruhannya, hampir 1,900 orang usahawan telah menyertai program ini baik secara fizikal atau dalam talian dan jumlah potensi untuk pembiayaan adalah hampir RM166 juta.”

Tambah Aria, “Bagi kemudahan PTF, SME Bank menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM50 juta untuk pembiayaan modal kerja, pembelian aset dan juga untuk pembelian mesin. Pembiayaan maksimum adalah sehingga RM300 ribu dan mendapat jaminan sebanyak 80% daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP).”

“Selain bantuan PTF, SME Bank turut menawarkan pelbagai kemudahan pembiayaan lain yang bersesuaian dengan keperluan usahawan di utara. Bagi bantuan SRP PEMULIH pula, pelanggan kami dalam sektor pelancongan dan pengangkutan awam yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, terus dibantu melalui SRP PEMULIH Fasa 2, dengan lanjutan moratorium selama 12 bulan iaitu dari Oktober 2021 sehingga September 2022 dan lanjutan tempoh pembiayaan asal sehingga 36 bulan.  Secara keseluruhannya, SME Bank telah menawarkan SRP PEMULIH bermula seawal Julai 2021 dan bantuan bersasar ini telah ditawarkan kepada 2,753 orang usahawan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM4.87 bilion,” tambah Aria.

Tan Sri Noh (tengah) dan Muslimin Yahaya (dua dari kiri) menyampaikan Surat Penyertaan kepada wakil JM Ferry Services Sdn. Bhd. sewaktu program Jom XCESS Wilayah Utara SME Bank

SME Bank turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Biforst Logistics Sdn. Bhd, syarikat logistik terbesar di Malaysia semasa program Jom XCESS SME Bank Wilayah Utara. Usaha sama ini melihat kedua-dua belah pihak akan bekerjasama bagi membangunkan pakej pembiayaan yang komprehensif untuk usahawan PKS yang terlibat dalam ekosistem logistik.

Siri Program Jom XCESS yang terakhir untuk tahun ini adalah di Wilayah Tengah yang dijangka akan diadakan di pertengahan bulan Disember. Untuk maklumat lanjut sila layari laman web rasmi SME Bank www.smebank.com.my. – SM

(Visited 568 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button