SME Bank jalin kerjasama strategik dengan lima pemain industri
Tingkatkan potensi pertumbuhan PKS
SMALL Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sani Ferry Sdn Bhd, Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd., Kembara Station Sdn. Bhd., Clearwisdom Sdn. Bhd. dan Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd. sebagai inisiatif usaha sama untuk memacu pertumbuhan dan peluang kemajuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pada masa yang sama memanfaatkan PKS lain dalam industri penerbangan dan maritim.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick berkata, “KUSKOP memuji inisiatif SME Bank atas usaha untuk menggiatkan semula prestasi ekonomi PKS dalam industri tersebut melalui kerjasama ini.
Inisiatif pada hari ini secara tidak langsung telah menyumbang ke arah merealisasikan matlamat Kerajaan untuk membuka lebih banyak peluang dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan bernilai tinggi ini. Dengan memanfaatkan kepakaran dan pencapaian pemain industri, PKS akan memperoleh sokongan yang tepat untuk terus memacu dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan mereka.”
Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail menyatakan, “Matlamat SME Bank melalui kerjasama strategik ini adalah untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk kemajuan PKS dari pelbagai industri.
Dengan memanfaatkan maklumat terkumpul, pengalaman dan pencapaian pelanggan kami, SME Bank akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi dan potensi PKS. Kerjasama ini akan membolehkan SME Bank meluaskan jangkauannya dan memberi impak positif kepada spektrum perniagaan yang lebih luas.”
Datuk Wira Aria menambah, “Anak syarikat milik penuh kami, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) juga akan menawarkan program pembangunan
keusahawanan dan kapasiti untuk memperkasakan lagi PKS negara, yang turut merangkumi penggunaan amalan terbaik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melalui program bimbingan dan nasihat khusus.”
Selain MoU, SME Bank turut memainkan mandatnya yang membolehkan pihak Bank menawarkan pakej pembiayaan lengkap kepada Sani Ferry Sdn. Bhd.. Datuk Wira Aria menyatakan, “Melalui kemudahan pembelian aset/modal berjumlah RM18.2 juta ini membolehkan mereka mengembangkan perkhidmatan dalam sektor pengangkutan penumpang dengan pembelian kapal tambahan.
Usaha ini dijangka dapat meningkatkan kapasiti untuk menampung lonjakan ketibaan pelancong ke Langkawi, terutamanya semasa tempoh permintaan tinggi seperti acara LIMA ini.”
MoU antara SME Bank dan lima pemain industri ini ditandatangani oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail dan wakil daripada syarikat masing-masing. Majlis menandatangani dan pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad.
SME Bank telah lama berada di wilayah utara melalui dua buah cawangan iaitu, Pusat Enterpris Alor Setar di Kedah dan Pusat Enterpris Seberang Jaya di Pulau Pinang. Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan pembiayaan SME Bank dan lain-lain kemudahan melangkaui pembiayaan, layari www.smebank.com.my atau hubungi 03-2603 7700. – SM
Artikel berkaitan > Pelajar IPT berpeluang memenangi hadiah sehingga RM30,000 dengan SME Bank Sandbox 2023