SME Bank hulur bantuan kewangan kepada pelanggan terjejas banjir
SME BANK menghulurkan bantuan kewangan kepada pelanggannya yang terjejas akibat banjir di beberapa bandar seperti yang disenaraikan dalam kawasan bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Dr. Aria Putera Ismail berkata, “Kami memahami nasib usahawan yang terjejas akibat banjir pada waktu ini. Kami bersedia untuk menawarkan bantuan kewangan kepada pelanggan kami dan juga akan mempertimbangkan untuk menggunakan Kemudahan Bantuan Bencana oleh Bank Negara Malaysia, yang menawarkan jumlah pembiayaan maksimum RM700,000.00 untuk PKS dan RM150,000.00 untuk perusahaan mikro dengan tempoh pembiayaan sehingga 7 tahun pada kadar 3.5% setahun, termasuk fi jaminan.”
Datuk Wira Aria menambah, “SME Bank telah berhubung dengan pelanggan kami sejak pandemik lalu dan bencana banjir pada tahun sebelumnya. Bantuan telah disampaikan melalui SME Recovery Plus, bantuan khusus yang disasarkan untuk PMKS dalam sektor pelancongan, pengangkutan penumpang dan pendidikan. Seramai 250 orang pelanggan SME Bank dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM938.79 juta telah mendapat manfaat daripada bantuan ini.”
Inisiatif ini didorong oleh aspirasi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, untuk memastikan semua agensi KUSKOP menghulurkan sokongan kepada PMKS bagi menyokong kelangsungan perniagaan terutama ketika dilanda musibah ini.
Usaha bersepadu ini akan membolehkan PMKS terus berkembang dan menghasilkan kesan limpahan ke atas pembangunan sosio-ekonomi rakyat Malaysia, yang sejajar dengan Pelan Strategik MECD 2023 untuk menjadi Progresif, Transformatif dan Responsif.
SME Bank menggesa semua pelanggannya yang memerlukan bantuan akibat banjir untuk tampil ke hadapan dan menghubungi Pengurus Perhubungan masing-masing secepat mungkin. Untuk maklumat lanjut, usahawan lain yang turut terjejas akibat bencana banjir boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 603-26037700 atau layari laman web rasmi di www.smebank.com.my.
Artikel berkaitan > SME Bank perkasa perusahaan sosial, guna ESG dalam kalangan PMKS