Bola SepakSukan

Skuad B-18 pertimbang jemputan beraksi di Turki

SKUAD Bawah 18 Tahun (B-18) negara sedang mempertimbangkan jemputan untuk menyertai Kejohanan Empat Negara di Antalya, Turki, menjelang pusingan akhir Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Pengurus pasukan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, sebarang keputusan masih belum dibuat memandangkan pihaknya sedang meniliti potensi beberapa negara lain sebagai destinasi terakhir untuk melakukan persiapan sebelum berlepas ke Tashkent.

Menurut beliau, keputusan sama ada skuad kendalian Brad Maloney itu boleh melakukan persiapan di luar negara juga tertakluk kepada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan dasar kerajaan ketika ini tidak membenarkan rakyat Malaysia ke luar negara kecuali atas sebab-sebab tertentu.

“Kami belum dapat mengesahkan untuk menyertai kejohanan jemputan di Turki dari 2 hingga 9 Oktober ini kerana perkara itu masih dalam perbincangan. Kami juga sedang menunggu maklum balas daripada MKN sama ada dibenar untuk ke luar negara atau tidak.

“Semua kini bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) daripada MKN. Jadi, perancangan masih lagi berjalan dan soal lokasi belum boleh dimuktamadkan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mengulas lanjut Kamarul Arffin berkata, barisan pemain dijangka dikumpulkan pada penghujung bulan ini, untuk menyertai kem latihan secara kuarantin yang menggunakan pendekatan sama seperti program Road To Tokyo (RTT), kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN).

Pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 31 Okt depan, menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara, Qatar, selain negara yang sedang meningkat, Tajikistan dan Yaman.

Sementara itu, Kamarul Ariffin mengesahkan pemain tengah berusia 18 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Kamal, akan menyertai kem latihan skuad B-18 kebangsaan tidak lama lagi.

“Pasti, kami sedang menunggu dan dalam proses terakhir untuk membawa pulang beliau, yang amat bersedia untuk mewakili Malaysia,” jelasnya.

Kehadiran Wan Kuzri, adik kepada bintang muda Wan Kuzain yang beraksi bersama kelab Liga Bola Sepak Utama (Major League Soccer) Sporting Kansas City, mampu memberi kelebihan kepada misi skuad B-18 negara yang menyasarkan beraksi pada Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button