Bola SepakSukan

Skandal seks tidak gugat kedudukan Walker bersama City

KYLE WALKER dilaporkan diberi jaminan berhubung masa depannya di Manchester City oleh bos, Pep Guardiola meskipun pemain itu mencipta beberapa kontroversi di luar padang.

Pemain antarabangsa England, Walker bimbang dia akan disingkirkan musim panas ini dengan Guardiola yang kini merancang bagi merombak benteng pertahanan skuad bimbingannya itu.

City telahpun mengikat pemain Bournemouth, Nathan Ake dengan harga 41 juta pound (RM224 juta) dan merancang untuk mengukuhkan benteng pertahanan sebelum musim baru bermula, bulan depan.

Walker, 30, sebelum ini berdepan masa depan tidak menentu di City selepas kelab menegur pemain itu kerana melanggar peraturan yang ditetapkan di bawah perintah kawalan berkurung setelah dia menganjurkan parti seks dengan mengupah gadis pengiring yang dibayar 2,000 pound (RM10,971).

Bek kanan tersebut terpaksa membuat permohonan maaf kepada umum selepas perbuatannya itu terbongkar tetapi selang seminggu selepas itu dia didapati melanggar peraturan sebanyak tiga kali dalam tempoh 24 jam.

Dia dikatakan telah melakukan perjalanan dari kediamannya di Prestbury, Cheshire untuk berpesta di rumah saudara perempuannya di Rotherham, South Yorkshire, sebelum mengunjungi rumah ibu bapanya di Sheffield dan kemudian pergi menunggang basikal bersama rakan.

Para peminat jelas berang dengan tingkah laku Walker selepas hanya beberapa hari dia menggesa orang ramai agar mematuhi peraturan kawalan perintah berkurung, dengan segelintir daripada penyokong bertindak menulis aduan kepada kelab, tetapi City memberi jaminan pemain berkenaan kekal menjadi sebahagian daripada perancangan masa depan pasukan.

Menurut media England, The Sun, Guardiola mempunyai hubungan rapat dengan Walker sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan memberitahu dia tidak merancang mencari pengganti pemain itu bagi musim depan dan kedudukannya dalam kesebelasan utama terjamin.

Walker pernah secara terbuka mendedahkan mengenai masalah kesihatan mentalnya pada Mei lalu selepas mengulas tingkah lakunya yang mencetuskan kontroversi berikutan melanggar peraturan yang ditetapkan Kerajaan.

Sejak kancah bola sepak kembali disambung, bekas pertahanan Tottenham itu berada pada prestasi yang baik di atas padang dan baru-baru ini, membantu anak-anak buah Guardiola menundukkan Real Madrid untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara menentang Lyon, Ahad ini.

Bos City, Guardiola masih menyimpan hasrat untuk membawa masuk pemain yang beraksi pada posisi sama dengan Walker, bagi mewujudkan persaingan buat pemain berkenaan.

Sementara itu, penjaga gol, Claudio Bravo akan menyertai Real Betis dengan bekas bos City, Manuel Pellegrini terdesak membawa pemain itu kembali ke Sepanyol dengan menawarkan kesebelasan utama kepada Bravo. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button