Luar Negara

Sputnik V: Vaksin Covid-19 Rusia digunakan di Brazil minggu depan

INSTITUT Teknologi Parana (TECPAR) di Brazil akan memohon dokumen teknikal untuk vaksin Covid-19 Rusia minggu depan sebagai persiapan memulakan percubaan terhadap vaksin itu.

Seorang pegawai di pejabat Gabenor negeri selatan, Guto Silva berkata, pihaknya percaya selepas menandatangani perjanjian kerangka kerja hari ini, minggu depan TECPAR  boleh mula mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa Rusia.

Demikian lapor agensi berita Rusia TASS.

Silva berkata, perincian mengenai jangka masa pelaksanaan kerangka perjanjian, masalah pengiriman, akses kepada teknologi Rusia yang berkaitan dan kemungkinan menghasilkan vaksin di Brazil bakal dibincangkan hari ini dalam telesidang antara Gabenor Parana, Ratinho Junior dan Ketua Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) Kirill Dmitriev.

Menurut Silva lagi, TECPAR mempunyai kemudahan penyelidikan yang cukup untuk menjalankan ujian makmal vaksin Rusia itu, sementara hubungannya dengan Yayasan Oswaldo Cruz (Fiocruz), Kementerian Kesihatan Brazil memberi peluang  percubaan di peringkat persekutuan dapat dilakukan.

“Kami berminat untuk menjadi pusat pembangunan vaksin ini. Yang penting, kerajaan persekutuan mempunyai pendirian yang sama dengan kami,” katanya.

Media Brazil semalam melaporkan, kerajaan Parana dan RDIF sedang bersiap sedia untuk memeterai perjanjian menguji dan mengeluarkan vaksin Rusia itu.

Bagaimanapun, badan pengawasan kebersihan Brazil, Anvisa mengatakan pihaknya belum menerima permohonan untuk ujian dan pendaftaran vaksin.

Terdahulu, Presiden Vladimir Putin mengumumkan Rusia sudah mendaftarkan vaksin Covid-19 pertama di dunia.

Menurut Menteri Kesihatan Mikhail Murashko, vaksin diberi nama Sputnik V itu dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Kebangsaan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya, ujian klinikalnya yang dijalankan pada Jun-Julai berjaya membuahkan hasil.

Putin juga mendedahkan seorang daripada anak perempuannya menerima suntikan vaksin itu dan dalam keadaan sihat. – SM

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button