Nasionalpilihan

Sivakumar kunjungi keluarga pencarum dan Pusat Rehabilitasi PERKESO Kuala Terengganu

CAKNA dengan nasib menimpa dua keluarga yang di bawah perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia telah menziarahi mereka sambil menyampaikan faedah PERKESO.

Semalam, Sivakumar telah mengunjungi keluarga Allahyarham Che Aziz Che Nik yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada minggu lalu. Dalam tragedi pada 8.30 pagi 13 Jun 2023, Che Aziz dilaporkan terkorban di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala akibat kemalangan jalan raya. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak, yang berumur antara 27 dan 7 tahun.

Maklumat tentang kemalangan ini diperolehi oleh Skuad PERKESO Prihatin Terengganu daripada laman Facebook “Viral Media Terengganu”, yang seterusnya membuat semakan kelayakan caruman Allahyarham di bawah Akta 4 dan didapati waris beliau layak menerima faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Dalam kunjungan ke kediaman keluarga Allahyarham Che Aziz di Kg. Gong Kijang, Bukit Tunggal di sini, Sivakumar telah menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 kepada balu Allahyarham, Puan Zanaidah Sidek, 51 tahun. Puan Zanaidah dan dua orang daripada empat orang anaknya yang berusia bawah 21 tahun (16 dan 7 tahun) layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Akta 4.

Sivakumar yang meluahkan rasa simpatinya kepada keluarga Allahyarham, berharap agar bayaran bulanan FOT yang akan diterima oleh balunya sepanjang hayat oleh anak-anak sehingga mereka mencapai umur 21 tahun, dapat membantu kelangsungan hidup setelah kehilangan pencari nafkah utama keluarga.

Menteri Sumber Manusia itu kemudiannya meneruskan kunjungan ke rumah seorang lagi Orang Berinsurans (OB) PERKESO, Encik Khairudin Salleh di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir. Encik Khairudin, 32, yang sebelum ini bekerja sebagai Juruteknik di INSTEP Batu Rakit, disahkan mengidap keilatan sewaktu sidang Jemaah Doktor pada 27 November 2022, akibat jangkitan kuman dalam darah (melioidolisis), selain mengalami masalah saraf dan sendi.

Beliau, yang masih bujang, kini mengalami masalah ingatan serta terlantar di katil (bed-ridden) dengan pergerakan minimum di bawah jagaan abang kandungnya, Encik Fauzi Salleh. Tuan V. Sivakumar, prihatin dengan keadaan Encik Khairudin, telah menyampaikan bekalan alatan pemulihan berupa lampin dewasa, susu, catheter dan urine bag, yang merupakan sebahagian daripada manfaat yang layak diterima pencarum PERKESO. Encik Khairudin, yang merupakan anak keenam daripada lapan adik-beradik, sedang menerima Pencen Ilat PERKESO di bawah Skim Keilatan, Akta 4.

Lokasi terakhir kunjungan Menteri Sumber Manusia adalah di Pusat Rehabilitasi PERKESO Kuala Terengganu (PRPKT) di Permai Hotel. PRPKT, yang mula beroperasi pada 28 Jun 2020, merupakan pusat satelit tunggal di koridor Pantai Timur. Ianya dilengkapi dengan pelbagai peralatan robotik tercanggih bagi membantu proses rawatan rehabilitasi pesakit. Sivakumar melawat kemudahan di sini, beramah mesra dengan pencarum PERKESO yang sedang menerima rawatan rehabilitasi serta menyampaikan peralatan pemulihan, masing-masing dua unit kaki palsu dan satu kerusi roda, kepada para pencarum.

Pada sidang media usai kunjungan seharian di Kuala Terengganu, Menteri Sumber Manusia memaklumkan: “Pusat rehabilitasi di negeri ini adalah pemangkin produktiviti pencarum PERKESO yang pernah mengalami kecederaan, tetapi masih mempunyai kecekalan untuk bekerja dan menyara kehidupan. Menerusi pelbagai teknologi canggih di pusat ini, PERKESO berupaya memberi sinar baharu kepada pencarum untuk mengorak langkah meneruskan kehidupan setelah mengalami bencana pekerjaan atau penyakit”.

PERKESO melindungi golongan pekerja dalam sektor formal, pekerja domestik, pekerja asing, individu bekerja sendiri dan golongan suri rumah. Perlindungan ini disediakan menerusi Akta 4, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi PERKESO di www.perkeso.gov.my atau hubungi Careline PERKESO 1-300-22-8000. – SM

Artikel berkaitan > Isteri lapan anak lega terima Pencen Penakat Perkeso

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button