PENYANYI, Siti Sarah Raisuddin dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berikutan tahap oksigen yang tidak stabil.
Siti Sarah sebelum ini disahkan positif Covid-19 dan kini sedang sarat mengandung tujuh bulan.
Menurut Shuib, isterinya telah dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tidak berapa stabil dan keadaan dia yagn tidak berapa baik.
“Saya mohon di hari baik, hari Jumaat doakan Sarah dan anak dalam kandungan.
“Semoga dipermudahkan urusan dan semoga Allah memberi kekuatan untuk mereka. Semoga Allah merahmati kita semua,” katanya.
Semalam, pengurus Siti Sarah, Nana Mohd Rom berkata, Siti Sarah dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
“Mereka sekeluarga sepatutnya sudah memotong gelang kuarantin hari ini tapi keadaan kesihatannya kurang memuaskan akibat batuk dan penurunan oksigen dalam badan membuatkan Sarah terpaksa mendapatkan rawatan lanjut.
“Shuib memohon orang ramai untuk mendoakan isteri serta anak dalam kandungan selamat tanpa sebarang masalah,” katanya.
Terdahulu, Siti Sarah, suaminya, Shuib dan tiga orang anaknya iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6 tahun disahkan positif Covid-19. -SM