Siri bercakap dengan kerusi dan berucap di atas tong
SAYA seram melihat gelagat para pemimpin UMNO dewasa ini. Sudahlah presidennya tidak lagi seperti pemimpin UMNO kerana terlalu berusaha untuk menjadi liberal di dalam kerajaan perpaduan, lebih teruk para pengikutnya.
Lokman Adam berucap di hadapan kerusi melebihi daripada hadirin yang datang yang digelar sebagai siri bercakap dengan kerusi diadaptasi novel seram yang popular suatu ketika iaitu Siri Bercakap Dengan Jin.
Shabery Cheek pula berucap dengan berdiri di atas tong di hadapan kira-kira 50 penyokong sahaja. Ala-ala sesi libat urus pihak berkepentingan kononnya.
Jadi benarlah apabila bekas pemimpin UMNO Annuar Musa yang mengatakan parti itu sudah kehilangan sokongan orang Melayu. Dalam dua pilihan raya yang lalu ketika jumlah pengundi bertambah sebanyak 7 juta, UMNO kehilangan 2 juta undi.
Gambaran yang diberikan adalah UMNO ibarat ketul ais yang berada di atas batu, di tengah panas. Setiap detik ia semakin mengecil dan cair.
Tidak mustahil sekali lagi pilihan raya UMNO akan terus pupus kerana kehilangan pengundi Melayu yang beralih kepada Pas dan Bersatu.
Apabila UMNO bekerjasama dengan DAP, mereka kini sangat takut untuk bercakap tentang kepentingan orang Melayu kerana bimbang dilabel perkauman dan tidak cocok dengan kerajaan perpaduan.
Bercakap soal kepentingan orang Melayu bukan bermakna rasis atau perkauman. Sebaliknya orang Melayu hanya memastikan hak serta kebajikan mereka sentiasa terpelihara, pada masa yang sama mereka tidak mempertikaikan hak kaum lain sebagai warga negara ini.
Tidak ada masalah orang Melayu hendak berjuang untuk kaum lain di negara ini, pada masa yang sama mereka harus sentiasa ingat orang Melayu yang mengundi mereka berharap hak mereka turut dilindungi.
Melayu memerintah negara ini sejak merdeka lagi telah mengkayakan banyak orang bukan Melayu. Banyak taikun-taikun dan bilionair dilahirkan yang bukan orang Melayu. Itu tidak menjadi masalah kerana kekayaan dan kemakmuran itu dikongsi bersama.
Malaysia mempunyai kaum India yang ramai menjadi jurutera IT dan peguam serta doktor. Begitu kaum Cina yang bijak berniaga selain mencipta kekayaan untuk peribadi mereka juga penyumbang kepada pendapatan negara melalui pembayaran cukai.
Melayu pula lebih mudah dibawa berbincang dan sering bertolak ansur dalam banyak hal dapat menguruskan negara ini dengan baik, selagi agama anutan mereka iaitu Islam tidak diinjak oleh pihak lain.
Beberapa hari lepas pemimpin DAP Tony Pua akhirnya terlepas cakap kerana terlalu seronok berucap di hadapan kaum Cina, telah mendedahkan niat sebenar DAP bekerjasama dengan UMNO. Tujuan utama mereka tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memecah-belah orang Melayu dan itu menyebabkan kaum yang menjadi majoriti di negara ini menjadi lemah.
Sejak merdeka UMNO sentiasa menjadi benteng kepada kemaraan DAP dan mereka tidak mempunyai cara lain iaitu perlu melemahkan parti berkenaan.
Dengan bekerjasama dengan UMNO, DAP ibarat membunuh dua ekor burung dengan seketul batu. UMNO menjadi lemah dan orang Melayu berpecah belah.
Selepas UMNO menjadi ibarat bangkai bernyawa, ketika itu DAP yang menjadi tonggak Pakatan Harapan akan memenangi pilihan raya akan datang dan membentuk kerajaan sendiri tanpa kerjasama dengan UMNO yang dianggap dipenuhi oleh para pemimpin yang korup.
UMNO kini tidak dapat diselamatkan lagi. Namun kini mereka perlu berdepan dengan benteng baharu orang Melayu iaitu Perikatan Nasional yang didominasi oleh Pas dan Bersatu. Maka diciptalah satu persepsi gelombang hijau bagi menggambarkan sesuatu yang bahaya sedang menguasai negara ini.
Iaitu kebangkitan gerombolan ekstrem yang akan memusnahkan nilai-nilai moderat yang diamalkan selama ini di negara ini. Gambaran palsu itu berjaya menakut-nakutkan kaum Cina khususnya, sedangkan DAP sendiri pernah bekerjasama dengan Pas.
Apa yang berlaku ialah Pas itu yang berpecah dan terbentuk parti serpihan Amanah yang ditaja oleh DAP. Begitu juga ketika Anwar digugurkan dari kerajaan dan menubuhkan PKR, DAP segera merapatkan hubungan kerana disitu terdapat banyak sokongan Melayu kerana Anwar bekas pemimpin Pas dan UMNO.
Jadi lebih setengah tahun memerintah negara ini Pakatan Harapan yang ditunjangi DAP sekali lagi berusaha memenangi hari rakyat dengan kaedah yang lebih lunak berbanding ketika mereka menjadi kerajaan selama 22 bulan semua hak orang Melayu mahu dihapuskan.
Kali ini mereka lebih berhati-hati tetapi tetap mengekalkan prinsip perjuangan yang sama iaitu sosialis liberal yang mahukan konsep samarata semua kaum dilaksanakan.
Berbeza kali ini mereka berjaya membuatkan pemimpin dari parti totok Melayu setiap saat dan detik mensucikan DAP.
Jadi pilihan raya di enam buah negeri bakal menjadi referundum rakyat, apakah mereka menerima corak kepimpinan negara ini atau majoriti akan menolaknya.