Singapura mula buka masjid 2 Jun, solat Jumaat kekal digantung
KEBANYAKAN masjid di Singapura akan dibuka secara berperingkat bermula 2 Jun, bagaimanapun solat berjemaah dan solat Jumaat masih tidak dibenarkan.
Langkah-langkah pemutus rantaian lebih ketat yang dikuatkuasakan oleh republik ini bermula 7 April lepas bagi mengekang penularan wabak COVID-19 akan berakhir pada 1 Jun.
Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), masjid akan mengehadkan ruang untuk kegunaan orang awam dan mengutamakan keperluan petugas-petugas perkhidmatan penting.
Selain itu, 68 masjid akan mengehadkan waktu operasi dari 1 tengah hari hingga 6 petang selama enam hari sehingga 7 Jun manakala bermula 8 Jun, kebanyakan masjid akan membenarkan solat secara berseorangan untuk kesemua lima waktu solat.
Dalam kenyataannya, MUIS berkata seiring garis panduan kebangsaan, lima zon solat akan diwujudkan dengan setiap zon dapat memuatkan sehingga lima individu daripada sebuah isi rumah.
Berikutan ruang solat yang terhad, MUIS menggesa agar keutamaan diberi kepada pekerja perkhidmatan penting yang tidak dapat menunaikan solat di tempat kerja disebabkan tuntutan pekerjaan.
MUIS turut menasihati masyarakat agar mematuhi langkah-langkah pencegahan termasuk mengenakan pelitup separuh muka, membawa sejadah sendiri serta mengelak daripada berdekatan dengan individu lain ketika di masjid termasuk bersalam.
Kesemua masjid di republik ini ditutup pada 13 Mac lepas. – BERNAMA