Luar Negara
Trending

Singapura catat 786 kes baharu Covid-19, keseluruhan lebih 21,000

SINGAPURA mengesahkan secara awal pertambahan 768 kes jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 21,707 kes.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata 10 kes melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala kebanyakan kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.

Dalam kenyataan yang dilaporkan oleh BERNAMA hari ini, kementerian itu berkata ia sedang mengumpulkan maklumat mengenai kes-kes berkenaan yang akan dimaklumkan kemudian.

Singapura sedang dalam proses mengurangkan langkah ketat pemutus rantaian secara berperingkat bermula minggu ini. Pada masa sama, republik itu sedang membuat persediaan memulakan secara berperingkat aktiviti sosial dan komuniti selepas pemutus rantaian berakhir pada 1 Jun ini.

Dalam perincian yang dikeluarkan pada Khamis, Singapura setakat ini mengklasifikasikan 1,261 kes sebagai kes komuniti, kes import (579) dan kes melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama (616).

Pekerja asing yang tinggal di asrama mendominasi kes yang direkodkan pada Khamis iaitu 18,483 atau 88.3 peratus daripada keseluruhan 20,939 kes.

Republik itu juga telah mengenal pasti enam kluster baharu pada Khamis dengan kluster terbesar iaitu S11 Dormitory @ Punggol merekodkan 2,529 kes.

Setakat ini, 1,712 pesakit telah discaj dari hospital atau fasiliti komuniti manakala 1,376 kes masih dirawat di hospital dengan 19 kes berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

Kementerian itu berkata 17,831 kes melibatkan gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih positif COVID-19, diasingkan dan berada di fasiliti komuniti.

Seramai 20 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi berikutan COVID-19 di sini, setakat ini.

Sementara itu di Indonesia sebanyak 13 kematian lagi berlaku dalam tempoh 24 jam di Indonesia menjadikan angka korban akibat COVID-19 di negara itu meningkat kepada 943 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19 Achmad Yurianto berkata jumlah kes positif pula meningkat kepada 13,112 kes, iaitu tambahan 336 kes baharu.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 113 pesakit sembuh, menjadikan jumlah yang sembuh sehingga kini berjumlah 2,494 orang,” katanya.

Menurut Achmad Yurianto, sebanyak 29,087 pesakit masih berada dalam pengawasan virus itu.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 424 kes diikuti Jawa Timur (138 kes), Jawa Barat (92) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button