Nasionalpilihan

Sindiket pelacuran berpindah 2 minggu sekali elak dikesan pihak berkuasa

SEAKAN tidak gentar dengan pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia, sindiket aktiviti pelacuran masih terus berjalan seperti biasa.

Terbaharu, seramai 15 wanita warga asing ditahan kerana terlibat dengan aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Taman Maluri, Cheras.

Difahamkan, operasi dilakukan kira-kira pukul 7 malam semalam dan menahan 11 wanita warga Thailand, Vietnam (3) dan seorang wanita Indonesia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil maklumat risikan mendapati sindiket tersebut menjalankan aktiviti pelacuran itu akan berpindah ke hotel lain setiap dua minggu untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Aktiviti pelacuran itu juga dijalankan di tingkat tiga hotel tersebut dan setiap bilik didaftarkan menggunakan nama warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai penjaga bagi wanita-wanita warga asing tersebut.

“Selain itu, hanya pelanggan yang dikenali sahaja dibenarkan masuk untuk aktiviti pelacuran bagi tujuan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa dan kegiatan tidak bermoral itu juga dijalankan atas pengetahuan pihak pengurusan hotel tersebut,” katanya.

Gambar ihsan Jabatan Imigresen Malaysia

Menurut Khairul Dzaimee, setiap pelanggan yang hadir akan dikenakan bayaran bermula RM230 hingga RM500 untuk setiap sesi selama 45 minit.

Ujarnya, separuh daripada bayaran akan diambil oleh majikan dan selebihnya merupakan “tips” untuk wanita warga asing bagi setiap pelanggan.

“Pelanggan terlebih dahulu akan memilih wanita warga asing yang ingin dilanggan melalui aplikasi ‘WECHAT’, ‘TELEGRAM’ atau ‘LINK’ tentang aktiviti ini yang diwujudkan khas oleh sindiket ini.

“Bayaran perlu dilakukan kepada penjaga atau penyelia terlebih dahulu di lobi hotel sebelum diberikan nombor bilik wanita yang telah ditempah,” katanya.

Selain warga asing, Khairul Dzaimee memberitahu sebanyak tujuh lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai penyelia atau lebih dikenali sebagai ‘CAPTAIN ’ dan pengurus operasi di hotel tersebut juga ditahan.

Selain tangkapan, pihaknya turut merampas barangan seperti kondom, minyak pelincir, kad akses bilik, CCTV hotel, telefon bimbit dan beberapa barang lain.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Kesemua tahanan akan dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button