Nasionalpilihan

Judi bola Euro 2020, 152 orang ditahan

SEBANYAK 152 orang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti pertaruhan haram perlawanan bola sepak EUFA Euro 2020 bermula 10 Jun lalu hingga semalam.

Selain tangkapan, turut dirampas ialah wang pertaruhan berjumlah RM115,132 hasil daripada 107 serbuan yang dilakukan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, had kredit pertaruhan yang dikesan ialah lebih RM11 juta melibatkan rekod pertaruhan individu dan sindiket tertentu.

“Kesemua serbuan dilakukan menerusi Op Soga 8 dan masih terlalu awal untuk menentukan kejayaan operasi kerana masih berbaki lagi 20 hari.

“Fokus utama operasi ini adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan catit taruh haram dan mengesan individu yang bertindak sebagai ‘bookie/punter’ serta lokasi yang menjalankan aktiviti pertaruhan judi bola sepak EURO 2020,” katanya.

Menurut Abd Jalil, modus operandi kali ini juga agak berbeza kerana kebanyakannya menggunakan kaedah atas talian (on line) disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menerusi serbuan yang dilakukan, pihaknya telah merampas pelbagai peralatan peranti elektronik seperti 166 unit telefon bimbit, kad sim (115), komputer (24 set), modem (12 unit), komputer riba (11 unit), router (lapan unit) dan satu unit tablet

“Selain itu, 43 keping catatan atau buku mengandungi catatan pertaruhan dirampas, sembilan keping jadual perlawanan EURO 2020, lima mesin kira-kira dan dua unit mesin pencetak,” katanya.

Untuk rekod, buat masa ini sedang berlangsung kejohanan bola sepak Euro 2020 yang melibatkan 24 buah pasukan di seluruh benua Eropah.

Sebanyak 51 perlawanan akan berlangsung dalam kejohanan bola sepak tersebut. -SM

(Visited 255 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button