Sinar baharu kanak-kanak OKU dengan tangan prototapi elektronik 3D
Hasil kerjasama MyVista-Digital Perak
MyVista sebuah syarikat swasta bakal bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak untuk mereka cipta tangan prototaip elektronik cetakan 3 dimensi (3D).
Usaha yang dilakukan di antara kedua-dua pihak itu akan membantu lebih ramai kalangan kanak-kanak Orang Berlainan Upaya (OKU) yang amat memerlukan kemudahan tangan prototaip tersebut.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed, kerjasama dengan MyVista akan dilaksanakan melalui Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) yang bertujuan, memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) demi kesejahteraan sosial rakyat secara amnya.
Katanya, inisiatif yang dihasilkan oleh MyVista mampu memberi banyak manfaat kepada insan-insan yang memerlukan selain daripada usaha sebegini sebenarnya wajar disambut baik oleh semua pihak.
“Kita dapati banyak ruang yang boleh dibangunkan dan dijayakan dengan kerjasama pintas semua pihak termasuk dari sektor swasta dan badan-badan korporat untuk menghulurkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian seperti laporan ASTRO Awani ketika hadir dalam majlis penyerahan tangan prototaip elektronik cetakan 3D kepada seorang kanak-kanak istimewa (OKU), adik Izza Adeera Faaizul Hisham, 7.
Majlis tersebut diadakan di Hub Inovasi dan Multimedia, Meru Raya, Ipoh, semalam.
Khairul Shahril berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan syarikat-syarikat swasta dan badan-badan korporat lain agar bersama-sama melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu kanak-kanak OKU agar mereka dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain yang normal.
Beliau yakin, lebih banyak pihak di luar sana yang bersedia menawarkan diri bagi menjayakan program seumpama ini sekiranya ia dihebahkan sebaik mungkin dan serata.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Pengasas MyVista, Sujana Mohd. Rejab berkata, inisiatif bersama kerajaan negeri itu adalah bermatlamat untuk meningkatkan keyakinan diri dalam kanak-kanak OKU.
Beliau berkata, sehingga kini lebih 60 tangan prototaip elektronik cetakan 3D dihasilkan.
Katanya lagi, tangan prototaip elektronik itu berharga antara RM5,000 sehingga RM10,000 seunit dan harga itu lebih murah jika dibandingkan dengan harga produk di luar negara yang mencecah RM25,000 sehingga RM40,000 seunit.
Kata Sujana lagi, mereka tidak mahu membebankan penaja atau pemberi sumbangan kerana matlamat MyVista lebih ke arah memberi khidmat sosial.
Kita juga tidak mahu membebankan penerima dengan kos yang tinggi, katanya.
Tangan prototaip elektronik 3D yang dihasilkan oleh MyVista adalah ringan dan sesuai untuk digunakan oleh kanak-kanak seperti Izza Adeera.
Menurut ayahnya, Faaizul Hisham De, 42, sumbangan itu adalah kali kedua buat anaknya.
Anaknya, kata Faaizul, menggunakan tangan mekanikal sejak beberapa tahun lalu tetapi berhadapan dengan kesukaran kerana memerlukan kekuatan siku selain tangannya yang bersaiz kecil.
Justeru katanya, anaknya tidak dapat memegang dalam tempoh yang lama.
“Izza Adeera tidak pernah berasa rendah diri atau kekurangan walaupun dia berlainan upaya sebaliknya anak kecil itu menerima hakikat kekurangan yang dialaminya sejak lahir. – SM