Nasional

TEMCO: 7 SJR di Kota Setar, Kedah sejak malam tadi

Keperluan lojistik mencukupi -Timbalan OCPD Kota Setar

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kedah mengesahkan akan melaksanakan tujuh sekatan jalan raya di daerah itu susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) secara Pentadbiran (TEMCO), bermula tengah malam tadi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah (OCPD), Supt. Mohd. Redzuan Salleh, langkah itu diambil bagi memastikan tidak berlakunya aktiviti keluar-masuk dalam kalangan penduduk selian memastikan pelaksanaan TEMCO berjalan lancar.

Tujuh lokasi, katanya terbabit dalam sekatan jalan raya iaitu di hadapan Restoran Haji Ramli Simpang Empat, Jalan Batas Paip, Kuala Kedah dan di hadapan Balai Polis Alor Janggus.

“Lain-lain lokasi ialah di hadapan Balai Polis Kepala Batas, Jalan Hutan Kampung, Tol Alor Setar Utara dan Tol Alor Setar Selatan,” katanya.

Katanya lagi, pihak polis yakin keperluan logistik seperti jumlah anggota keselamatan yang terlibat adalah mencukupi walaupun TEMCO kali ini, melibatkan satu daerah yang amat luas.

Dengan kekuatan 350 pegawai dan anggota polis serta dari pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dilihat dapat membantu memudahkan pelaksaan sekatan jalan raya (SJR) dan pemantauan ke atas premis-premis di dalam daerah Kota Setar, katanya.

Tambah beliau, sebanyak tujuh sekatan jalan raya yang melibatkan sempadan-sempadan di dalam daerah Kota Setar telah diadakan.

“Sempadan Kota Setar dan juga Jitra adalah antaranya. Kemudian untuk tujuh SJR, kami turut melibatkan kekuatan ATM sepertimana kerjasama bersepadu yang pernah dijalankan sebelum ini.

“Kami juga mengujudkan 21 pasukan pemantau yang akan digerakkan mengikut syif yang telah ditetapkan sebagaimana ketika kita laksanakan PKP dahulu,” katanya.

Pasukan pemantauan dan pasukan dari unit ronda bermotosikal akan digerakkan bagi mengawal laluan tikus di lorong-lorong utama.

Untuk rekod, orang ramai yang perlu memasuki kawasan TEMCO untuk tujuan bekerja, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

Sehubungan itu, majikan harus mempertimbangkan kebenaran para pekerjanya bekerja dari rumah memandangkan keadaan semasa berhubung dengan beberapa kluster Covid-19 di daerah berkenaan adalah agak serius. – SM

(Visited 358 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button