Politik

Sikap politikus berebut kuasa punca Covid-19 naik

SIKAP ahli politik yang berebut kuasa sehingga menyebabkan pilihan raya diadakan dalam suasana negara berhadapan pandemik adalah perlu dikesalkan.

Hal demikian menyebabkan peningkatan semula jangkitan Koronavirus (Covid-19) akibat kempen-kempen pilihan raya dan perhimpunan para penyokong parti.

Situasi tersebut sememangnya sukar dikawal apabila penjarakan sosial tidak dapat diamalkan malah tidak mustahil ada sebilangan yang tidak memakai pelitup muka.

Kini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, para pemimpin politik dilihat kembali berebut kuasa di peringkat Persekutuan.

Insiden politik ini amat dikesalkan kerana, dalam situasi sekarang mereka sepatutnya memberi tumpuan kepada rakyat dalam menghadapi gelombang pandemik yang ketiga.

“Pergerakan Wirawati Putra Malaysia amat kecewa dengan sikap para pemimpin politik yang tidak habis habis berebut kuasa.

“Para pemimpin politik serta kerajaan perlu memikirkan kepentingan serta nyawa rakyat ketika Covid-19 kembali menular dan tidak sesekali perlu membahayakan nyawa rakyat.

“Amatlah malang apabila barisan pertahanan kesihatan dan Kementerian Kesihatan telah berhempas pulas menurunkan lengkok kes jangkitan Covid-19

“Tetapi diburukkan dengan kluster baru akibat perhimpunan beramai ramai. Kasihani para petugas barisan hadapan yang merisikokan diri menjaga negara.

“Janganlah kita sebagai pemimpin ghairah berebut atau melompat kerusi dan melupakan tanggungjawab kita menjaga rakyat.”

Demikian kata Ketua Pergerakan Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Asmah Razalli dalam satu kenyatannya hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mempertimbang semula bantuan kepada rakyat terjejas.

ASMAH RAZALLI

Termasuklah mereka dalam bidang pendidikan sama ada di sekolah ataupun di peringkat pengajian tinggi.

Ini kerana, mereka tidak terkecuali daripada impak gelombang baharu apabila sekolah ditututp dan pengumuman saat akhir pendaftaran kemasukan semula ke institusi pengajian tinggi secara dalam talian.

“Kementerian Pendidikan perlu bertindak lebih agresif dalam melindungi dan membendung anak anak dari terkena tempias wabak Covid-19.

“Kami juga berharap Kementerian Pengajian tinggi mampu berlaku adil dengan menjaga kebajikan dan membantu mahasiswa terutamanya golongan B40 yang tiba lebih awal di kampus.

” Kami turut berharap supaya Muhyiddin berpegang teguh kepada prinsip beliau iaitu prihatin rakyat.

“Mempertimbangkan bantuan sepatutnya kepada semua rakyat terjejas tanpa kerenah birokrasi serta moratorium lanjutan jika kes Covid-19 terus meningkat,” tegasnya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah memaklumkan jangkitan Covid-19 terbaharu adalah paling tinggi dalam sejarah iaitu 287 kes. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button