Sidang Komander Askar Wataniah ditangguh
Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 32/2020 anjuran Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dijadualkan pada 6 hingga 8 November 2020 di negeri Perlis akan sekali lagi ditunda ke satu tarikh baru yang akan diumumkan kelak.
Pada asalnya persidangan tersebut dirancang pelaksanaannya pada 3 hingga 5 Julai 2020 yang lalu. Namun, ia terpaksa ditangguhkan buat kali yang keduanya disebabkan situasi semasa di dalam negara kini yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang akan menjadi tuanrumah persidangan tahunan tersebut pada kali ini.
Baginda mengesahkan pengumuman tersebut dibuat sejurus selepas berunding dengan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain melalui telefon pada petang semalam.
Beberapa hari yang lalu Tuanku Syed Faizuddin Putra telah berkenan menerima sembah mengadap oleh Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah bagi memperhalusi segala persiapan akhir persidangan tersebut yang diadakan di Bilik Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra.
Turut hadir ialah Pengarah Rancang & Pembangunan – Bahagian Pasukan Simpanan TDM, Kolonel Hj Hashim Hj Osman dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan bahawa pihak rejimen berkenaan amat mengalu-alukan keberangkatan serta kehadiran semua Komander-komander rejimen siri 500 dari seluruh negara ke Perlis kelak. Tambah baginda, walaupun sekali lagi ditunda, namun begitu segala persiapan oleh pasukan penganjur dan juga agensi-agensi lain yang membantunya akan tetap terus diperkemaskinikan dari masa ke semasa sebagai persediaan awal sementara menunggu tarikh baru yang bakal diputuskan nanti.
Bersempena kunjungan Hasagaya tersebut juga, baginda turut berkenan meninjau ke Dewan Senat dan juga Auditorium Bangunan Canselori UniMAP serta segala kemudahan berkaitan lain yang bakal menjadi venue utama persidangan.
Untuk rekod, kali terakhir negeri Perlis menjadi hos persidangan ini ialah pada 28 September 2002 ketika Tuanku Syed Faizuddin Putra baru sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Tuanku Komander rejimen berkenaan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Tahun lalu negeri Melaka telah menjadi tuanrumah persidangan itu dengan jayanya.