YAZID SUFAAT yang telah ditahan selama lebih 12 tahun di bawah ISA dan POTA. Beliau adalah merupakan seorang tahanan terkait terrorisme yang tegar dan keras. Beliau adalah bekas pegawai tentera di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Kapten.
Siapakah Yazid
Yazid ditahan tiga kali dalam tempoh 17 tahun lepas kerana kegiatan berkait keganasan. Beliau pernah cuba menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran untuk al-Qaeda.
Beliau ialah pakar pembuatan bom bagi pergerakan pengganas Jemaah Islamiyyah. Melihat kepada latarbelakang itu sahaja sudah cukup untuk menakutkan apabila dia dibebaskan, walaupun Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa polis sentiasa memerhatikan anggota militan itu yang telah dibebaskan selepas menjalani tahanan.
Yazid memperoleh empat tan ammonium nitrat untuk beberapa serangan bom di Singapura pada 2000 sebelum rancangan rangkaian pengganas Jemaah Islamiah itu digagalkan. Dia dilaporkan cuba menghasilkan dan memasukkan anthrax ke dalam senjata di Afghanistan pada 1990-an.
Rumah beliau di Kuala Lumpur pernah digunakan oleh anggota kanan al-Qaeda sebagai tempat pertemuan dan dalam satu mesyuarat, rancangan untuk membuat serangan menggunakan kapal terbang di AS pada 11 Sept 2011 turut dibincangkan. Straits Times menyebut Yazid merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang mempunyai kaitan langsung dengan serangan itu.
Yazid, pertama kali ditahan pada 2002 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau dibebaskan pada 2008 selepas menjalani proses pemulihan dan menunjukkan tanda “penyesalan” dan “bertaubat”. Beliau ditahan kali kedua pada 2013 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma), undang-undang yang menggantikan ISA, kerana merekrut anggota baru untuk IS di Iraq dan Syria. Berikutan itu beliau ditahan selama empat tahun di penjara Tapah.
Pada Disember 2017, Yazid ditahan semula di bawah Pota selepas pihak berkuasa mendapati beliau merekrut rakan tahanan untuk al-Qaeda ketika di penjara.
Kewarasan Yazid
Kewarasan pemikiran dan tahap kepulihan atau neutralis yang dimilikinya hingga ke saat ini perlulah diperiksa terlebih dahulu. Lembaga Pencegahan Terrorisme adalah merupakan sebuah jawatankuasa yang selayaknya membuat keputusan berkaitan pembebasan beliau.
Komponen penilaian awal akan dilakukan oleh tiga pihak iaitu Kementerian Dalam Negeri yang akan memberikan penilaian sebanyak 20%, diikuti PDRM sebanyak 40% dan Jabatan Penjara sebanyak 40%. Pelbagai elemen berkaitan kefahaman yang betul dalam beragama dan psikologi diukur oleh pakar-pakar yang dilantik oleh KDN, manakala pihak PDRM pula boleh melakukan pendekatan ujian Digital Voice Stress Analysis (DVSA). Pihak Jabatan Penjara pula akan memfokuskan peningkatan kefahaman dan penghayatan serta attitude melalui modul-modul yang dibangunkan dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
Apa langkah perlu dilakukan bila beliau dibebaskan
Bila Yazid dibebaskan, ‘support system’ adalah perlu dan mesti dibangunkan. Pelbagai pihak perlu menyokong beliau, dengan membantu dari sudut menjalani kehidupan yang lebih baik dan sempurna terutamanya selepas keluar dari penjara dengan status ‘banduan’ dan ‘terroris’. Pastinya Yazid atau mana-mana bekas tahanan akan melalui kehidupan yang sukar teruatamanya untuk mendapatkan pekerjaan dan bekeluarga. Maka semua pihak harus membantu beliau teruatamanya keluarga, rata-rata bekas tahanan akan kembali kepada kehidupan lampau mereka atas sebab merasakan kehilangan sokongan terutamanya keluarga.
Yazid sukar dipulihkan
Elemen pemantauan amatlah perlu, kita mahukan yang terbaik untuk setiap bekas tahanan termasuklah Yazid, akan tetapi faktor-faktor sekeliling memungkinkan mereka terjebak kembali, maka aspek pemantauan oleh PDRM terutamanya adalah perlu sehingga beliau benar-benar pulih dan menjadi sebahagaian daripada masyarakat. Kita ada beberapa kes bekas tahanan yang kembali menjadi terroris, contohnya Rafiudin yang pernah ditahan di bawah ISA atas penglibatannya dengan KMM dan Al-Qaeda, akhirnya kembali ke Syria menyertai ISIS.
Perlukah SOSMA dikekalkan?
Tahanan terroris ini sama ada di Malaysia mahupun di Indonesia, kebanyakan mereka ini mempunyai pandangan yang keras dan berbeza dengan majoriti penganut agama Islam. Pandangan yang keras yang disebut ‘Salafi Takfiri’ dan ‘Jihad Al-Kital’ ini memerlukan kepada satu kaedah pencegahan bukannya pengubatan. Mereka yang mempunyai ideologi radikal seperti ini amat perlu dicegah dan disantuni sebaiknya. Jika gagal dicegah maka kerosakkan yang berlaku amat sukar untuk diperbaiki.
Pengenalan SOSMA yang sebenarnya jauh lebih baik berbanding ISA. Siapa yang kata SOSMA adalah tahanan tanpa bicara? Ada silap seenarnya SOSMA adalah tahanan yang mesti dibicarakan, selepas 48 jam, orang yang ditahan boleh mendapatkan peguam, dan dalam masa 28 hari beliau akan dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan. Tempoh 28 hari adalah tempoh yang amat perlu untuk sisatan dan pengumpulan maklumat yang lengkap sebelum perbicaraan boleh dilakukan.
Jika ada pihak yang merasakan SOSMA adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan, maka tanggungjawab semua terutamanya Ahli Parlimen dari kerajaan hari ini untuk membuat pindaan agar ia mendjadi lebih baik, tetapi bukannya menghapuskan undang-undang pencegahan. Singapura masih mengekalkan ISA, Amerika memperkenalkan Patriot Act, Indonesia memperkenalkan Undang-Undang Anti-Terror, semua ini bersifat pencegahan dan tahanan tanpa bicara yang tergantung tempohnya.
Adakah boleh berlaku serangan dalam negara?
Ini tidak mustahil berlaku, kita berada pada fasa politik dan sosial yang ekstrem dan radikal. Ini biasanya diterjemahkan oleh para pengikut hasil penelitian daripada perkataan dan perbuatan oleh pimpinan mereka. Jika pandangan individu seperti Yazib berkaitan isu-isu yang berlaku dalam negara ini adalah tidak menyebelahi apa yang mereka perjuangkan, maka natijahnya mungkin melalui aksi terror sebagaimana yang pernah berlaku di negara kita pada sekitar tahun 1999 hingga 2002 .
Jika kerajaan dilihat gagal menangani pelbagai isu agama da etnik termasuklah isu LTTE dan Komunisme, maka pihak-pihak yang radikal ini akan mengambil peluang untuk melaksanakan jihad atau apa sahaja serangan yang dirasakan perlu dalam merealisasikan agenda politik mereka.
Kesimpulan.
Yazid dan mana-mana sahaja tahanan seharusnya dilayan sebagai manusia sempurna dan mempunyai hak-hak kemanusiaan yang selayaknya. Beliau perlu diberikan ruang untuk membuktikan bahawa beliau telah pulih dan mampu menjalani kehidupan yang baik dan normal, akan tetapi pemantauan perlu dilakukan. Isu-isu dalam negara perlu ditangani oleh kerajaan dengan bijak dan sistem sokongan perlulah diperkukuhkan. Elemen-elemen terroris perlu dicegah dan dihapuskan tanpa kompromi.