PolitikRencana

Siapa yang dahulu melompat?

TIBA-TIBA ramai yang melompat dan kepanasan apabila Tun Dr. Mahathir hadir di rumah terbuka Tahun Baharu Cina parti Gerakan.

Gerakan bukannya komponen Pakatan Harapan. Gerakan juga pernah menuduh Tun M sebagai Perdana Menteri yang paling rasis.

Dan Gerakan bukan mempunyai sebarang kerusi selepas keluar dari Barisan Nasional.

Kenapa pula gambar Tun M dengan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang sedang menikmati hidangan makanan penting.

Dan tidak kurang juga kehadiran Tun M di rumah terbuka Gerakan.

Related Articles

Mengapa Hadi bertemu Tun M dan mengapa perlu gambar itu ditularkan?

Ia sebenarnya sebagai amaran kepada langkah mendesak Tun M meletakkan jawatan pada Mei ini dan menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika Tun M tidak turun pada Mei ini akan berlaku lompatan parti mega, bukan sahaja dalam kalangan PH, bahkan akan melibatkan para pemimpin UMNO sendiri.

Lompatan mega ini akan mengubah lanskap politik dan membentuk kerajaan baharu.

Siapa percaya kemenangan lebih 15,000 majoriti Barisan Nasional (BN) di Tanjung Piai kerana sokongan rakyat benar-benar kembali kepada BN dan kemenangan lebih 5,000 di Kimanis juga atas faktor yang sama, dia bukan pemerhati politik  yang bijak.

Di Sabah atau Kimanis, Warisan disabotaj oleh anggota dalam PH sendiri dan yang paling disyaki ialah Bersatu, kerana sebelum ini kemasukan parti itu seperti ditentang oleh para pemimpin Sabah.

Takkanlah Tun M tidak turun berkempen di Sabah hanya kebetulan. Difahamkan ia kerana pemimpin Sabah secara diam-diam mengadakan pertemuan dengan pemimpin PKR.

Di Tanjung Piai memang terang dan jelas DAP dan PKR sengaja menjejaskan peluang Bersatu untuk menang.

Sebaik sahaja kekalahan memalukan itu para pemimpin parti berkenaan beramai-ramai mendesak Tun M menyerahkan jawatan kepada Anwar.

Mengapa DAP obses dengan Anwar? Jawapannya mudah. Anwar seorang pemimpin yang liberal pastinya beliau akan lebih menurut dan mudah dibawa berbincang berbanding Tun M.

Para pemimpin UMNO pula tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri, kerana mereka tahu jika Anwar menjadi perdana menteri, beliau akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kemenangan PH pada pilihan raya akan datang.

Antaranya termasuklah memansuhkan tol, menurunkan harga minyak dan menghapuskan PTPTN.

UMNO juga tahu, jika mereka tidak menang pada pilihan raya seterusnya, kemungkinan besar mereka akan menjadi pembangkang untuk tempoh yang lebih lama lagi.

Jadi apa signifikan Hadi dan Gerakan dalam percaturan ini?

Hadi sejak sekian lama memang menyokong Tun M untuk menjadi perdana menteri sehingga habis penggal dan pada masa yang sama menjalinkan hubungan dengan UMNO di bawah Muafakat Nasional.

Ini menunjukkan jika Tun M keluar bersama Bersatu dari PH beliau akan disambut oleh Hadi dan Pas serta sebahagian besar pemimpin UMNO dan Bebas.

Datuk Seri Azmin pula akan keluar PKR bersama Tian Chua menyertai Gerakan bersama beberapa pemimpin DAP, akan turut mengikuti jejak itu.

Dengan bergabung dengan GPS di Sarawak dan Warisan di Sabah dengan mudah kerajaan baharu dibentuk.

Ini meninggalkan DAP dan PKR sebagai pembangkang.

Ketika Datuk Seri Hishammuddin sibuk mengatur perbincangan dengan kem Tun M. Ada juga pemimpin UMNO yang mengadakan perbincangan dengan PKR dan Anwar.

Pemimpin berkenaan tidak kurang pengaruh di dalam UMNO. Jika mereka melompat dan menyertai kem Anwar pada bulan Mei ini bersama DAP, Amanah, MCA dan beberapa parti di Sabah dan Sarawak kerajaan baharu akan dibentuk dan Anwar akan menjadi Perdana Menteri.

Pemimpin yang mempunyai sejarah hubungan akrab dengan Anwar ialah Datuk Seri Zahid dan Datuk Lokman Adam.

Percaturannya mudah sahaja semua kes mahkamah dihadapi Zahid dan Lokman akan digugurkan kerana alasan ia lebih kepada konspirasi politik, sebagaimana dihadapi Anwar sebelum ini.

Begitu juga Datuk Seri Najib. Lokman penyokong tegar Najib dengan mudah menjadi orang penghubung Najib dengan Anwar.

Kita lihat selepas ini siapa yang akan dahulu melompat.

 

 

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button