Politik

Bila ahli politik bercakap ‘antara syurga dan neraka’

CAKAP tak serupa bikin atau memang itu cakap orang politik.

Seingat Suara Merdeka, Ahli Parlimen Masjid Tanah yang dahulunya wakil rakyat UMNO yang melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin pernah mengungkapkan kenyataan yang begini bunyinya pada 30 Disember 2018.

“Saya pesan kepada Bersatu, jangan risau kemasukan kami.

“Saya harap mereka tiada tanggapan salah sebab ramai macam saya. Kami tak nak jawatan sebab yang penting, suara didengari dan lebih baik untuk kawasan saya,” kata bekas Ketua Puteri UMNO itu.

Mas Ermieyati mengumumkan keluar UMNO pada 1 Julai 2018 sebelum menyertai Bersatu pada 13 Disember tahun sama.

Waktu itu beliau mengiakan arahan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad agar beliau dan bekas pemimpin UMNO lain tidak diberi jawatan sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Arahan Dr. Mahathir perlu dihormati, begitu tegas Mas Ermieyati.

Tetapi apa sudah jadi? Tiba-tiba semalam, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menyerahkan borang pencalonan mencabar Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang mempertahankan jawatan Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah.

Termenung sejenak Suara Merdeka. Tersenyum kerana teringat kata-kata pujangga dinukilkan Bob Hope, seorang penghibur Hollywood yang pernah bergurau berkenaan ahli-ahli politik yang masih memberi ucapan `antara syurga dan neraka’.

Beliau menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan, “hinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka”.

Waima apa pun, kejujuran ahli dalam mana-mana parti politik ibarat kisah anai-anai yang setia dan bersatu hati menjaga busut dari serangan musuh.

Meskipun kecil, anai-anai digeruni kerana upayanya menghancurkan musuh yang mahu musnahkan busutnya. Begitupun, anai-anai tidak pernah berperang sesama sendiri.

Anai-anai bergerak sebagai pasukan dan komited dengan tugas serta tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kelangsungan koloni. Rumah besar boleh digigit hingga runtuh. Tapi busut sanggup dipertahan hingga mati.

Demikianlah agaknya Bersatu. Seperti mana anai-anai yang setia dan bersatu hati, jangan beri peluang kepada musuh dalam selimut.

UMNO mengalami kepahitan itu setelah enam ahli parlimennya meninggalkan parti pada 14 Disember 2018 dan menjadi wakil bebas.

Selain Dr Abdul Latiff Ahmad dari Mersing, mereka yang lain ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid; Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Hamzah Zainudin (Larut); Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Untuk rekod, UMNO telah memberikan writ saman kepada Mas Ermieyati dan seorang lagi bekas ahli parlimennya, Dr Noor Azmi Ghazali dari Bagan Serai) yang meninggalkan UMNO menyertai Bersatu.

Namun sehingga sekarang tidak diketahui perkembangan dua kes saman berkenaan.

– SM

(Visited 392 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button