Siapa yang bakal langgar SOP dahulu
Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat semasa pilihan raya negeri Melaka membuatkan situasi menjadi hambar.
Namun keazaman jentera pilihan raya untuk menang dijangka menyaksikan SOP itu akan dilanggar juga akhirnya. Persoalannya kini siapa yang bakal melanggarnya dahulu.
Dalam perbualan dengan jentera parti yang berkempen mereka berkata, sanggup membayar denda walaupun RM10,000 kerana yang penting ialah kemenangan.
Ada juga berpendirian bahawa jika Barisan Nasional (BN) mula melanggar SOP, seperti mengadakan ceramah maka parti-parti lain juga akan melanggarnya.
Sedangkan SOP ketat itu adalah bagi memastikan letusan penularan wabak Covid-19 tidak berlaku semasa pilihan raya negeri ini.
SOP khas berkenaan telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad selaras dengan Peraturan 16, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
Susulan penetapan berkenaan, calon yang bertanding pada PRN Melaka dibenarkan untuk berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu yang ditetapkan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang akbar pada Isnin berkata, begitupun calon perlu mendapatkan permit daripada pihak polis.
Menurutnya, kenderaan yang dipasang alat pembesar suara tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan untuk menyampaikan ceramah.
Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, bagi mematuhi penjarakan fizikal, ceramah yang menghimpunkan orang ramai adalah tidak dibenarkan.
Selain itu, aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan aktiviti ‘walkabout’ juga tidak dibenarkan.
Pada Isnin, SPR telah pun menerima sejumlah 112 kertas pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dipertandingkan pada PRN kali ini.
Pilihan raya negeri Melaka ini dikhuatiri mencetus penularan kembali wabak Covid-19 sebagaimana berlaku ketika pilihan raya negeri Sabah tempoh hari.
Jika itu berlaku ia akan mengheret sekali lagi negara ke dalam kancah perintah kawalan pergerakan yang akan melumpuhkan kehidupan dan ekonomi negara sekali lagi.
Ramai yang mengalami tekanan perasaan kerana terjejas pendapatan dan sebagainya kerana semasa tempoh pelaksanakan perintah kawalan pergerakan yang lalu.
Orang ramai agak lega kini apabila kes Covid-19 harian mulai turun setelah kadar vaksinasi penduduk negara ini mencapai lebih 90 peratus.
Bagaimanapun pertelingkahan politik dalam kalangan pemimpin UMNO di Melaka menyebabkan pilihan raya negeri tidak dapat dielakkan.
Oleh itu UMNO dan Barisan Nasional perlu berhati-hati untuk tidak menjadi punca kepada tercetusnya lagi penularan wabak yang membunuh ramai umat manusia ini.