Siapa kata tak sakit – Hamzah
MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin yang kembali bertugas hari ini setelah bebas COVID-19, berkongsi pengalaman yang menyakitkan dan perit ketika disahkan positif dengan virus tersebut.
“Sakit…siapa kata tak sakit? Seluruh badan terasa macam kalau demam urat. Lemah badan dan kalau sakit kepala macam saya kena, Allah…macam nak meletup kepala,” katanya ketika berkongsi pengalaman tersebut, dalam sidang media di sini hari ini, mengenai status pendaftaran PEJUANG dan MUDA.
“Saya punya enzim hati naik sampai paras 900 jadi doktor nak bagi ubat kena berhati-hati. Demam sampai dekat 38.9°C,” kata Hamzah yang disahkan positif COVID-19 pada 12 Jan.
Hamzah juga menyatakan walaupun beliau kini bebas COVID-19, namun beliau terpaksa menjalani fisioterapi pada paru-paru, sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Beliau juga meminta orang ramai jangan membuat berita palsu yang menimbulkan kegusaran dan ketakutan.
“Saya masuk hospital pada 12 Jan dan walaupun dibenarkan keluar pada 24 Jan, saya kena duduk di rumah untuk seminggu lagi. Tak kan saya sengaja masuk hospital hampir sebulan,” katanya.
Hamzah berkata rakyat harus berdoa supaya diselamatkan daripada COVID dalam meneruskan perjuangan yang sebenar, iaitu membangunkan negara, memajukan ekonomi dan menjadikan negara ini aman damai.
“Kepada mereka yang mendoakan saya bertambah teruk, saya ampunkan mereka kerana saya baca Al-Quran… dan tengok banyak kutuk banyaklah pahala yang saya dapat,” katanya, yang banyak menghabiskan masa dengan aktiviti keagamaan ketika di hospital.
Hamzah turut berdoa agar Malaysia bebas dari COVID dan berharap rakyat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk penjarakan fizikal untuk memutuskan rantaian penularan.
Mengulas mengenai 13 laporan polis yang dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa menghasut serta mengancam keselamatan dan ketenteraman negara, Hamzah berkata kertas siasatan telah dibuka.
Menurut Hamzah, bukan hanya Anwar malah beberapa individu lain juga akan disiasat berkaitan hal berkenaan.
Anwar sebelum ini mencadangkan agar semua ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Seri Paduka membatalkan Proklamasi Darurat, dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin. – BERNAMA