Siapa Abu Ibrahim al-Hashimi al-Quraishi?
SUARA MERDEKA: Abu Ibrahim al-Hashimi al-Quraishi diumumkan sebagai ketua baharu ISIS iaitu pengganti Abu Bakar al-Baghdadi yang dibunuh oleh dalam serangan tentera Amerika Syarikat.
Bagaimanapun hampir tidak ada maklumat mengenai pemimpin baharu ISIS itu dan penganalisis hanya mengagak nama berkenaan bukan nama sebenarnya dan kemungkinan nama baharu bagi Hajji Abdullah.
Aaron Zelin peneliti dari Washington Institute for Near East Policy menyatakan semua pihak buntuk dan tidak mempunyai maklumat mengenai ketua yang baharu itu.
Sementara itu ISIS dalam pesanan rakaman suara berkata mereka meratapi kematian ketua mereka baru-baru ini tetapi berjanji akan membalas dendam.
“Kami meratapi … komander kepada pengikutmu yang setia,” kata Abu Hamza al-Quraishi – ditampilkan sebagai jurucakap baru kumpulan pengganas itu – dalam satu kenyataan audio.
Al-Baghdadi, yang memimpin kumpulan ISIS sejak 2014 dan merupakan individu paling dikehendaki di dunia, terbunuh dalam satu serbuan oleh pasukan tentera khas Amerika Syarikat di wilayah Idlib di barat laut Syria pada Ahad lalu (27 Oktober).
Pihak berkuasa Amerika Syarikat mengesahkan pada Isnin bahawa mayat al-Baghdadi disemadikan di laut.
Kumpulan ISIS turut mengesahkan pembunuhan jurucakap mereka sebelum ini, Abu Hassan al-Muhajir dalam serbuan yang berlaku pada Isnin (28 Oktober).
Kenyataan itu menyebut badan perundangan dan perundingan kumpulan ISIS bertemu menyusuli kematian ketua mereka berusia 48 tahun yang berasal dari Iraq itu.
“Majlis Shura kumpulan ISIS berkumpul sejurus selepas mengesahkan kematian Sheikh Abu Bakar al-Baghdadi, dan “golongan mapan dari anggota ISIS bersetuju” mendapatkan pengganti, demikian bunyi pesanan sepanjang tujuh minit itu.
TIdak banyak yang diketahui mengenai ketua baru ISIS itu, yang namanya jarang disebut sebagai pengganti ketika al-Baghdadi beberapa kali dilaporkan terbunuh sejak beberapa tahun ini.
“Kami tidak tahu banyak mengenainya melainkan dia adalah hakim utama kumpulan ISIS dan mengetuai jawatankuasa Sharia,” kata Encik Hisham al-Hashemi, seorang pakar Iraq berhubung kumpulan ISIS.