fbpx
Rencah Hidup

Apabila Politik Kuasai Emosi, Penceramah Pun Diaibkan Dalam Masjid

Kekalutan yang berterusan melanda rakyat marhaen belum ada tanda noktah. Mencari di hujung terowong satu sinar harapan masih belum nampak.

Perihal pembuangan pekerja golongan penjawat awam yang dipandang sebagai perbuatan zalim atas tuduhan menghina pemimpin terdahulu, adalah satu isu yang pernah dibincangkan.

Pekerja swasta yang kehilangan kerja terkini ialah dari kalangan pekerja Utusan. Jika ada yang melihat ini berkait dan bersangkut paut, itu adalah pandangan dan konotasi individu.

Insiden yang berlaku di utara tanah air membabitkan kariah di sebuah masjid. Ini yang dikongsi melalui hantaran media sosial akaun miliknya.

Hantarannya meluahkan rasa sedih dengan kejadian yang berlaku Subuh pagi tadi kerana pada hemat sesiapapun, tidak sepatutnya terjadi. Masjid bukan laman untuk berpolitik, bersuku-suku atau berpuak-puak.


Malangnya masih ada lagi perbuatan sebegitu tetapi kali ini, membabitkan kariah masjid dengan penceramah jemputan yang datangnya dari jauh. Bukan orang utara tanah air tetapi dari sebelah pantai timur.

“Balik.. balik.. kuat jeritan suara Jemaah lelaki itu. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena berlaku namun dalam hati, berdoa janganlah terjadi apa-apa perkara yang tidak elok.” Begini mula hantaran yang dipetik untuk paparan pembaca Suara Merdeka.

Merasa kehairanan dengan kejadian, menurut tulisan pemilik akuan Facebook berkenaan (biarlah dirahsiakan nama akaun pemilik facebook ini), penceramah ada tercegat di hadapan dan bersiap sedia untuk memberikan kuliah Subuh.

Jeritan lelaki menyuruh semua kariah masjid balik, mengejutkan kariah wanita. Takut dengan jeritan menyuruh balik, ada yang bergegas keluar beramai-ramai.

“Terkejut aku bila memlaing tengok Jemaah wanita pun bergegas keluar beramai-ramai. Dah la sebelum tu aku dah terkejut bila ada pihak lain mengetuai bacaan zikir dan doa selepas selesai solat. Sedangkan solat tadi diimamkan oleh ustaz yang akan menyampaikan ceramah.

“Makcik yang baharu aku kenal sekejap tadi, elok aje berbual Tanya, aku datang dari mana, nampaknya turut ‘join the club’. Akhirnya Jemaah wanita yang tinggal adalah aku, mak dan dua orang lagi (mungkin bukan anak kariah).”

Di manakah silap penceramah yang datang dari jauh untuk menyampaikan ilmu? Beginikah sikap ahli-ahli masjid kerana sesungguhnya hidayah itu milik Allah.

Itulah kejadian yang berlaku Subuh pagi tadi yang mungkin satu insiden terpencil tetapi menundang banyak persoalan. Masjid ialah rumah beribadah. Masjid tempat kita orang Islam berhimpun, berukhuwah, berkongsi ilmu demi bekalan apabila tiba saat dan ketikanya kita dipanggil kembali kepadaNYA.

Biarlah kita ketepikan hal-hal duniawi, kepartisan, darjat dan pangkat atau fahaman politik yang berbeza-beza tetapi jangan sampai kita alpa dan leka serta terbawa-bawa oleh sifat yang merugikan. Renungkanlah.

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button