Shuk tidak lagi jadi penyampai radio Hot FM, kontrak ditamatkan serta merta
PELAWAK, Shuk Sahar tidak lagi menjadi penyampai radio Hot FM selepas khidmatnya ditamatkan stesen radio tersebut.
Penguru Besar Kumpulan Audiens & Pemasaran Ripple, Anida Mohd. Tahrim berkata, keputusan penamatan kontrak Shuk dicapai selepas siasatan dalaman syarikat mendapati Shuk telah melanggar kontrak dan terma perjanjian.
“Kontrak perkhidmatan Shuk sebagai penyampai radio di Hot FM ditamatkan berkuatkuasa hari ini.
“Selepas selesai siasatan dalaman mendapati berlakunya pelanggaran terma perjanjian oleh Shuk seperti yang sudah dipersetujui di dalam kontrak perkhidmatannya sebagai penyampai radio Hot FM.
“Shuk juga telah dimaklumkan mengenai hal ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, penyanyi, Mark Adam telah dipilih untuk memberikan nafas baharu kepada stesen radio tersebut.
Sementara itu, pelawak kontroversi, Shuk Sahar berkata, dia menerima keputusan yang telah dibuat oleh Hot FM.
“Saya terima dengan hati terbuka dan pastinya keputusan itu adalah yang terbaik buat Hot FM juga,” katanya yang enggan mengulas lebih lanjut.
Sebelum ini, Hot FM mengambil tindakan untuk menggantung Shuk daripada menjadi penyampai radio berkenaan berikutan hal rumah tangga yang dihadapi pelawak itu.
Rumah tangga Shuk menjadi tumpuan netizen selepas isterinya, Rossalennah membuat naik rakaman video yang berkenaan kes skandal suaminya.
Namun, selepas itu, Rossalennah kini telah memaafkan suaminya dan kembali bersama selepas beberapa kejadian tersebut berlaku. -SM