Shiqin Kamal cuak bawa ‘superbike’
TIDAK pernah mempunyai pengalaman menaiki motosikal, tetapi perlu melakonkan watak seorang wanita yang handal mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.
Pengalaman itu yang membuatkan Shiqin bersetuju untuk membintangi filem Superbike The Movie.
“Memang watak kali ini berbeza sebab saya tidak pernah bawa motosikal sama ada yang berkuasa kecil atau tinggi.
BACA> Bawa watak ‘mak cik’ pun boleh menang anugerah
“Selain itu, watak seorang gadis yang lasak dan berambut pendek juga adalah benda baharu bagi saya dalam bidang lakonan.
“Sebelum ini memang tidak pernah dapat watak begini dan bila ditawarkan, saya terus terima untuk menyahut cabaran sebagai seorang pelakon,” katanya.
Pelakon Filem Lagenda Budak Setan itu juga menyatakan cabaran tersendiri yang terpaksa dilalui apabila perlu memakai racing suit.
“Bayangkan ketika penggambaran saya perlu sentiasa memakai racing suit memandangkan 80 peratus babak memerlukan saya memakainya.
“Memang badan berpeluh dan melekit, namun saya anggap ia satu cabaran tersendiri dan sangat seronok terbabit dalam filem ini,” katanya.
Sementara itu, pengarah filem tersebut, Wan Saiful Shahrizan Wan Nawi atau Shah berkata, filem arahannya itu sudah siap pada tahun 2015, namun kini ia baru berpeluang untuk ditayangkan kepada penonton.
BACA> Ibu kaki hutang dan penipu, Han So Hee terpaksa minta maaf
“Filem ini sudah lima tahun dalam simpanan, ia mengambil masa yang lama kerana ada beberapa aspek teknikal yang perlu diperhalusi iaitu keadaan jerebu yang dialami semasa penggambaran.
“Jadi, pihak kami mengambil inisiatif untuk mengurangkan penampakan jerebu itu dengan menggunakan khidmat pakar dari India,” jelasnya.
Bercerita lebih lanjut tentang pembikinan filem berkenaan, ia berlangsung selama 22 hari di lokasi seperti Litar Sepang serta beberapa jalan berselekoh yang sememangnya menjadi kegemaran penunggang Superbike.
Selain Shiqin, turut membintangi filem yang bakal disiarkan di Astro First bermula esok turut dibintangi oleh Kamal Adli dan Hamid Gurkha. -SM