Politik

Shahril hormat Adly, Pak Wan di Alor Gajah

Bakal calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan tidak gentar berdepan dengan dua calon heavyweight yang akan dihadapinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu berkata, beliau tetap menghormati wibawa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang juga bekas Ketua Menteri, Adly Zahari yang turut dicalonkan bertanding di sini.

“Saya sedar dan tahu ini adalah kerusi panas, kalau ikut laporan media dua calon ini yang akan bertanding iaitu seorang bekas menteri dan seorang bekas ketua menteri bukan calang-calang.

“Saya anggap ini satu cabaran besar untuk saya tawarkan kepada 93,000 pengundi di Parlimen ini kerana saya datang dari generasi yang muda sikit tetapi mampu memberi tawaran untuk masa depan yang lebih baik kepada rakyat di sini serta suara generasi saya jika diberi mandat nanti.

“Dalam hidup ini, saya bersedia berdepan dengan segala cabaran dan halangan apa yang saya akan buat ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati rakyat di sini,” ujarnya dalam sidang akhbar di pejabat UMNO Bahagian Alor Gajah di Selandar dekat sini hari ini.

Sebelum ini pelbagai spekulasi yang menyebut kononnya Shahril dilaporkan akan bertanding di Jasin dan Tangga Batu.

Namun segalanya terjawab malam tadi sewaktu pengumuman bakal calon BN bagi menghadapi PRU15 oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan beliau bertanding di Alor Gajah.

Mengulas lanjut Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, sebagai calon muda beliau tidak mahu dibentangkan karpet merah dan mahu dilayan seperti rakyat biasa.

Ditanya naratif pembangkang akan membangkitkan isunya sebagai calon dari luar beliau berkata: “Itu terpulang kepada mereka tetapi yang penting apa yang kita akan tawarkan masa depan kepada rakyat di sini bagi mereka membuat pilihan yang tepat.”

Dalam pada itu beliau melahirkan rasa terharu dengan kesediaan kepimpinan UMNO dan BN Parlimen Alor Gajah kerana dapat menerima kehadirannya sebagai calon walaupun bahagian itu mempunyai ramai pemimpin lain untuk diketengahkan.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, dakwaan Shahril sebagai calon bidang terjun adalah tidak benar kerana ibunya datang dari Melaka.

Selain itu kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, bakal calon BN itu sebenarnya adalah calon strategik yang dihantar untuk merampas kembali Parlimen Alor Gajah yang dimenangi oleh calon Bersatu pada PRU14.

“Beliau bukan terlalu asing di Alor Gajah kerana tahun lalu Shahril pernah mengikuti program Wanita, Puteri dan Pemuda yang diadakan di sini,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button