Nasional

Pembangunan Keluarga Malaysia berlandaskan prinsip Maqasid Syariah

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru Keluarga Malaysia beri sokongan kepada pentadbirannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau menggesa rakyat mengundi semula kerajaan pimpinannya yang sentiasa konsisten dalam menunaikan apa sahaja janji yang dibuat kepada semua lapisan masyarakat.

“Walaupun Pulau Pinang diterajui pembangkang, saya ketepikan segala perbezaan demi mengutamakan pembangunan Keluarga Malaysia.

“Oleh itu, saya menggesa Keluarga Malaysia di Pulau Pinang khususnya di Kepala Batas supaya memilih Kerajaan Persekutuan sedia ada yang sentiasa konsisten dalam menunaikan janji-janji yang dibuat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas, Masjid Bandar Putra Bertam dan Pusat Belia Kepala Batas (KBYC) di Pulau Pinang, hari ini.


Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, komitmen pentadbirannya terbukti semasa pembentangan Bajet 2023 baru-baru ini di mana mereka akan terus memperkukuhkan pemulihan negara, membina daya tahan dalam semua sektor dan memastikan ekonomi terus makmur dan mampan.

“Bajet itu juga memberi tumpuan kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia dengan menyediakan rumah yang mencukupi, berkualiti dan mampu milik bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.

“Justeru kerajaan menyediakan peruntukan RM372.3 bilion untuk pelbagai skim perumahan,” katanya.

Pada majlis yang sama, Ismail Sabri turut mengumumkan satu lagi inisiatif Keluarga Malaysia iaitu projek PPR Kepala Batas bagi memenuhi keperluan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah yang masih belum memiliki rumah.

Projek bernilai RM113 juta ini membabitkan pembinaan 700 unit rumah pangsa empat tingkat dengan kemudahan asas, akan dilaksanakan di atas tanah seluas 20 ekar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

Beliau berkata, projek PPR Kepala Batas turut menyediakan tujuh unit rumah bagi menampung keperluan orang kurang upaya (OKU).

“Kos membina seunit rumah ini ialah RM161,000 tetapi ia akan dijual pada harga RM45,000 seunit.

“Ini bermakna subsidi seunit rumah ialah RM116,000 dan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan untuk projek ini adalah sebanyak RM81.2 juta,” jelas beliau.

Ismail Sabri juga berkata, kerajaan sentiasa komited dalam melaksanakan program pembangunan Keluarga Malaysia berlandaskan prinsip Maqasid Syariah iaitu konsep yang telah dilaksanakan sejak zaman Nabi Muhammad SAW.

Dalam konteks Malaysia, kata Ismail Sabri, kerajaan bertanggungjawab memelihara dan menyuburkan syiar Islam dalam kalangan keluarga Malaysia khususnya yang beragama Islam.

“Hari ini juga saya ingin mengumumkan majlis pecah tanah pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam yang akan dibangunkan di atas tanah seluas dua hektar milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di Pongsu Seribu.

“Kos keseluruhan pembinaan masjid ini ialah RM7 juta yang menggunakan kaedah perkongsian kos di mana Kerajaan Pusat memperuntukkan RM4 juta, kerajaan negeri RM3 juta dan sumbangan melalui kutipan wakaf pembangunan masjid dana RM1 juta,” ujar beliau.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut berkata, industri sukan antara agenda kerajaan dalam Bajet 2023 dengan peruntukan RM332 juta disediakan untuk pembangunan dan pengurusan sukan di Malaysia.

“Bagi melaksanakan visi tersebut, saya ingin mengumumkan pembinaan KBYC bernilai RM45 juta di atas tanah seluas 25 ekar di Mukim 6,” katanya. -SM

(Visited 33 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button