Sukan

Shah Firdaus mohon maaf gagal hadirkan pingat untuk Malaysia

PELUMBA keirin negara, Firdaus Sahrom memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal merealisasikan hasrat untuk beliau menghadirkan pingat untuk negara.

Shah Firdaus terlibat dalam kemalangan akibat dihimpit pelumba ketika di kedudukan gangsa menuju garis penamat.

Permohonan maaf itu dibuat oleh Shah Firdaus menerusi hantaran InstaStory beliau sekitar pukul 8 malam tadi.
Memetik laporan BERNAMA, Shah Firdaus mengakui, beliau memerlukan masa untuk menerima dugaan terlepas pingat dan disingkirkan daripada final acara keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelumba berusia 28 tahun berasal dari Muar, Johor itu berkata, beliau begitu yakin akan menaiki podium di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines pada Ahad apabila telah menyediakan barangan keperluannya untuk upacara penganugerahan pingat.
Impiannya hampir menjadi realisasi apabila berada di kedudukan ketiga dengan perlumbaan memasuki lebih kurang 25 meter terakhir tetapi berkecai dalam masa yang begitu pantas selepas dilanggar oleh pelumba Jepun, Shinji Nakano yang mengakibatkannya dan pelumba Great Britain, Jack Carlin terjatuh.
“Saya memang berada pada posisi untuk meraih pingat apabila telah melepasi separuh daripada basikal Nakano tetapi secara tiba-tiba tayar belakang saya dilanggar.
“Kemudian pelumba di kedudukan nombor keenam yang dah give up untuk kejar (Matthew Glaetzer dari Australia) tamat perlumbaan di tempat ketiga.
“Dari pagi saya set minda bahawa saya ada kemampuan untuk meraih pingat. Jika saya tidak beri cabaran langsung untuk pingat saya boleh terima tetapi ini susah untuk hadam,” katanya ketika ditemui di hotel penginapan.
Pemenang dua pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lepas itu, bagaimanapun berterima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) yang membantunya kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu dan lutut yang dihadapi sebelum ini.
Perlumbaan final itu dimenangi pelumba Belanda, Harrie Lavreysen untuk merangkul pingat emas ketiganya di Paris selepas turut memenanginya dalam acara pecut individu dan berpasukan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button