Shafie tuntut Mohamad Hasan minta maaf
PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan kerana memfitnah parti tempatan Sabah itu.
Justeru, beliau menuntut Mohamad memohon maaf berikutan kenyataannya tersebut atau jika gagal berbuat demikian, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu bakal berhadapan tindakan saman.
Mohd Shafie berkata Mohamad ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, baru-baru ini, menyebut pilihan raya kecil tersebut ibarat perlawanan ‘Malaysia lawan Filipina’.
“Saya sudah minta (peguam) hantar surat supaya (Mohamad) minta maaf, kalau dia tidak minta maaf, saya akan saman dia,” katanya ketika berucap pada sambutan Krismas di Kuala Pos Bongawan Estate dekat sini, hari ini.
Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan memetik Mohamad sebagai berkata pertembungan antara BN dan Warisan pada PRK Parlimen Kimanis umpama perlawanan antara Malaysia dan Filipina.
Mohamad dilaporkan berkata perumpamaan itu adalah daripada penduduk tempatan sendiri yang menyebut bahawa BN itu Malaysia dan Filipina itu Warisan.
“Apa yang menunjukkan bahawa saya adalah orang Filipina, bagaimana saya boleh menjadi orang Filipina, saya orang Sabah, Malaysia. Bagaimana saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan (sebelum ini) Saya telah berkhidmat (untuk negara) hampir 30 tahun,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku sehingga mempersoalkan keturunan dan bangsa seseorang.
“Jangan pertikai perkara seumpama ini, hanya mahu meraih undi.
“Banyak sudah yang menjadi ketua menteri Sabah. Tetapi bila sampai kepada saya, saya pula digelar ketua menteri PTI (pendatang tanpa izin),” katanya. – BERNAMA