Politik

Shafie `perangat’ MA63 di Kimanis

Analisis

SUATU yang nyata sebaik sahaja Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengambil alih teraju kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) tahun lepas adalah beliau tidak membalas dendam terhadap musuh-musuh politiknya.

Tidak kisah sama ada seseorang itu mengundi atau tidak mengundi Parti Warisan, mereka adalah rakyat Sabah yang “pasti saya akan jaga dan bantu tuan-tuan”.

Itu kata Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar memetik janji Mohd. Shafie, kepada Suara Merdeka sebelum ini.

Berhadapan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang menyaksikan hari penamaan calon Sabtu 4 Januari ini, diikuti 14 hari kempen dan pengundian 18 Januari, Parti Warisan dijangka terus memperjuangkan pemulihan hak Sabah (dan Sarawak) melalui Perjanjan Malaysia 1963 (MA63).

SEALIRAN, UNTUNGKAN SABAH

Ketika ini kerajaan negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan diakui sealiran. Suasana ini menguntungan rakyat Sabah yang akan memudahkan Mohd. Shafie berunding dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pelbagai isu untuk mengembalikan hak-hak rakyat Sabah yang terambil atau yang sudah termaktub dalam MA63.

Ini terutama melibatkan soal-soal royalti minyak sebanyak 20% manakala 40% cukai-cukai yang dikutip di Sabah sejak merdeka yang tidak pernah dikembalikan kepada rakyat Sabah. Dan lebih-lebih lagi Sabah memerlukan banyak dana ekoran penubuhan Kementerian Kesihatan dan Pelajaran.

Perkara ini pun Dr. Mahathir sebelum PRU-14 sudah berjanji untuk mengembalikan 50% hasil cukai dikutip di Sabah.

Diyakini melalui hubungan baik Mohd. Shafie dan Dr. Mahathir – yang kebetulan pula Parti Warisan sebahagian daripada Pakatan Harapan – dipercayai Sabah akan mendapat peruntukan untuk pembangunan rakyatnya.

TUNTUTAN

Mengenali ketegasan Mohd. Shafie, kerajaan Pusat tidak boleh main-main dalam melayani tuntutan kerajaan negeri.

Kerajaan Sabah hari ini sememangnya tidak mahu dilayan seperti mana kerajaan Barisan Nasional (BN) melayan Sabah sebelum ini dengan meletakkan Sabah sebagai negeri ke-12.

(Rujuk semula MA63 dengan Malaysia dibentuk melalui empat negara, sebelum Singapura keluar meninggalkan Malaya pada 1965.

Sejarah menyaksikan sejak 1976, Perlembagaan Persekutuan dipinda tanpa kerelaan rakyat Sabah memasukkan Sabah sebagai negeri ke-12.

Barang diingat! Sabah tidak pernah masuk Malaya. Tahun 1963 Sabah membentuk Malaysia bersama Malaya dan Sarawak. Ia bermakna ketiga-tiga wilayah ini “equal partner”.

REFERENDUM?

Dikatakan orang Sabah telah `ditipu’ apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 1976. Sepatutnya Malaya wajib meminta persetujuan rakyat Sabah akan sebarang perubahan dalam MA63.

Sewajarnya ada referendum rakyat Sabah dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri. Yakni, bukan sekadar mendapat persetujuan daripada cuma dua atau tiga orang pemimpin Sabah ketika itu yang kurang cerdik dan kemungkinan kerana kedudukan mereka miskin, mereka digula-gulakan dan boleh menjadi juga dirasuah. Inilah yang akhirnya didakwa keputusan mereka yang sangat merugikan rakyat Sabah. Maka tergadailah hak-hak rakyat Sabah.

Antaranya hak-hak petroleum dan gas Sabah yang hanya mendapat 5%.

Tetapi Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun tidak bersetuju dan beberapa Ahli Parlimen dari Sabah yang seramai kira-kira sembilan orang menentang resolusi pembentukan Akta Petrolium & Gas 1974.

MALAYA ‘PENJAJAH’ DI SIANG HARI?

Ketika itu cara kerajaan Pusat melayani rakyat Sabah agak “legally” (sah) tetapi moralnya tidak begitu.

Ada kalangan rakyat Sabah beranggapan ‘Malaya sebagai penjajah di siang hari’.
Ya, semasa itu bukannya ramai pun anak-anak Sabah yang memiliki ijazah dan pintar.

Tetapi sekarang lain. Masa berubah. Orang Sabah sudah buka mata, lebih-lebih dengan kerajaan negeri waktu ini diketuai Mohd. Shafie yang berpengalaman 30 tahun dalam Kerajaan Pusat dan era BN selaku orang nombor tiga penting dalam UMNO.

MATANG

Mohd. Shafie sudah cukup matang berurusan dengan pemimpin Pusat.

Diyakini beliau tidak boleh dipermain-mainkan kerana beliau ada kekuatan dengan orang-orang Sabah akan berada di belakang beliau pada bila-bila masa dalam apa jua keadaan dan situasi.

Kempen PRK Kimanis pasti berbahang dengan isu MA63.

Dan MA63 bukanlah isu baharu pun. Di bawah kerajaan terdahulu, penyandang kerusi Kimanis sebelum ini, Datuk Seri Anifah Aman bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dari Sarawak, mengetuai jawatankuasa Kabinet untuk melihat pemulihan hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63.

Beliau turut membangunkan badan bukan kerajaan (NGO), dikenali sebagai MySabah dalam menuntut semula hak Sabah, terutama pulangan sebanyak 40 peratus daripada pendapatan bersih dikutip oleh kerajaan Persekutuan kepada negeri itu.

-SUARA MERDEKA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button