Sukan

Seri di Bishkek namun laluan Harimau Malaya berliku

Harimau Malaya berjaya mengikat tuan rumah, Kyrgyzstan  1-1 di Bishkek, namun peluang untuk mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara merit ke Piala Asia 2027 semakin berliku.

Pada perlawanan di Stadium Dolen Omurzakov di Bishkek pada Khamis, aksi Malaysia yang turun tanpa tujuh pemain utama, boleh diberikan pujian terutama dalam berdepan pasukan yang jauh berkualiti di laman lawan.

Peluang untuk Malaysia layak masih ada tetapi perlu menang dengan jaringan besar dalam perlawanan terakhir menentang Taiwan selain mengharapkan Oman dapat menewaskan Kyrgyzstan juga dengan jaringan besar dalam satu lagi aksi peringkat kumpulan D.

Kyrgyzstan yang berada di ranking ke-100 dunia mencipta peluang awal hasil rembatan dari luar kotak penalti Kairat Zhyrgalbek Uulu pada minit ke-11 yang diselamatkan oleh Azri Ghani.

Malaysia turut mengancam kubu tuan rumah apabila Endrick Dos Santos merembat daripada hantaran Paulo Jouses yang turut ditangkap kemas penjaga gol lawan Tokotaev Erzan.

Tuan rumah memperoleh gol pembukaan pada minit ke-24 berpunca daripada kelekaan pertahanan negara yang membolehkan Joel Kojo melakukan hantaran kepada Gulzhigit Alykulov yang tenang menewaskan Azri.

Harimau Malaya menyamakan kedudukan disebabkan  pertahanan Kyrgyzstan, Valery Kichin menanduk ke gawang sendiri berpunca sepakan percuma yang diambil oleh Endrick. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button