fbpx
Luar Negara

Serangan udara di Syri bunuh lebih 50 penentang

SERANGAN udara di sebuah kem latihan kumpulan penentang kerajaan Bashir Al Assad di barat laut Syria pada Isnin mengorbankan lebih  50 pejuang yang disokong Turki dan mencederakan jumlah yang hampir sama.

Serangan itu dikatakan pukulan paling hebat kepada kumpulan terkuat pembangkang itu, kata seorang jurucakap dan pemerhati perang.

Pihak penentang berjanji akan membalas serangan ke atas kumpulan Faylaq Al-Sham itu, dengan menyalahkan Rusia sebagai dalang di sebalik serangan.

Tidak ada komen segera dari Rusia atau Turki, walaupun mereka mendukung pihak lawan dalam konflik Syria, tetapi pada masa sama kedua-dua negara itu bekerja sama untuk mempertahankan gencatan senjata di wilayah yang dikuasai penentang.

Youssef Hammoud, jurucakap kumpulan penentang Syria berkata, serangan udara di bahagian barat laut Idlib, wilayah terakhir mereka di Syria, menyasarkan kem latihan ketenteraan untuk Faylaq Al-Sham.


Faylaq Al-Sham adalah kumpulan bersenjata terbesar yang disokong Turki dan salah satu yang paling berdisiplin dan terlatih.

Turki telah lama menyokong pasukan pemberontak di Syria dan telah menggunakan banyak pejuang tersebut untuk meningkatkan kempen ketenteraannya di Libya dan Azerbaijan.

Kem itu, di Jebel Al-Dweila tidak jauh dari sempadan Turki, mengadakan sesi latihan untuk rekrut baru, menurut seorang pemerhati perang dan seorang jurucakap pembangkang yang lain.

Pemimpin kem adalah antara yang terbunuh, menurut Hammoud.

Wartawan atau aktivis di kawasan itu tidak dibenarkan menghampiri kem dan sejauh mana kerosakan tidak diketahui,

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpusat di Britain, yang memantau perang di Syria, menganggarkan jumlah korban lebih tinggi, iaitu 78 pejuang mati dan hampir 90 cedera.

Usaha menyelamat masih dijalankan, kata kumpulan itu. Mereka juga mengesyaki serangan udara itu dilakukan oleh Rusia, yang merupakan sekutu rapat Presiden Syria Bashar Assad dalam perang saudara negara itu.

Sebuah hospital yang berhampiran dengan letupan itu terpaksa menghantar mangsa yang cedera dan maut ke kemudahan lain.

Seorang doktor di bandar Idlib mengatakan bahawa hospital pusat bandar, lebih dari 24 kilometer (15 batu) dari kem, menerima dua mayat dan 11 cedera.

Semua yang terkorban adalah pejuang, kata doktor itu, dengan syarat tidak mahu namanya tidak disebutkan  kerana dia tidak dibenarkan membincangkan serangan terhadap kumpulan bersenjata.

Seorang aktivis media, Rashid Al-Bakr, adalah antara yang terbunuh, menurut Pusat Media Makro, sebuah platform berita dalam talian.

Satu kumpulan Facebook meminta penduduk Idlib untuk memeriksa dengan pihak hospital di bandar jika mereka kehilangan saudara, petunjuk yang jelas bahawa banyak mangsa terbunuh tidak dikenali.

Kumpulan pemberontak Syria bersumpah untuk membalas.

“Kami, Barisan Pembebasan Kebangsaan, akan bertindak balas terhadap pelanggaran ini,” kata Naji Al-Mustafa, juru bicara pejuang yang disokong Turki, mengancam akan mensasarkan kedudukan pemerintah dan Rusia. – ARAB NEWS

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button