Nasional

Serangan ke atas Syed Saddiq biadap

INSIDEN serangan ke atas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada satu majlis di Ulu Tiram, Johor baru-baru ini, adalah biadap dan tidak mencerminkan akhlak yang baik.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan Jemaah Menteri memandang serius insiden serangan terhadap Syed Saddiq pada Jumaat lepas itu dan tindakan kasar tersebut perlu dikecam.

“Negara mempunyai undang-undang. Kerajaan mengamalkan “Rule of Law” (kedaulatan undang-undang) dan semua pihak tanpa kecuali, harus mematuhi undang-undang negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menegaskan bahawa pihak berkuasa juga mesti menegakkan undang-undang secara telus dan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati tidak menghormati undang-undang.

“Hanya mereka yang menjadi anggota kerajaan yang berhak memberi arahan. Itu pun jika arahan bercanggah dengan undang-undang atau SOP (prosedur operasi standard), petugas tidak perlu bertindak,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak termasuk di negeri-negeri, yang tidak menghormati undang-undang negara termasuk yang tidak mematuhi arahan yang diberi oleh kerajaan.

Pada 1 Feb, Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) parti Bersatu berkata kumpulan tidak diundang seramai kira-kira 200 orang tiba-tiba muncul di majlis rapat umum yang dihadirinya, di Ulu Tiram  dan melakukan provokasi.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan beliau terpaksa mengalah dan melompat pagar serta menggunakan ‘jalan tikus’ untuk mengelak kumpulan ‘penyerang’ berkenaan selepas dinasihat penganjur dan polis.

Polis kemudian menubuhkan sebuah pasukan siasatan khas untuk menyiasat dan mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden sekumpulan pemuda melakukan provokasi dan kekecohan itu. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button