Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan berhampiran Jasin
SEORANG maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua lori di KM179.3 Lebuhraya Utara-Selatan antara plaza tol Jasin dan Tangkak arah selatan pagi tadi.
Ia adalah nahas kedua di lokasi, walaupun dalam arah bertentangan. Kira-kira lima jam sebelum itu, 16 penumpang cedera selepas sebuah bas ekspres merempuh bahagian belakang sebuah lori.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Penolong Ketua Bomba Mohd Iskandar Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 9.35 pagi.
Beliau berkata sebaik tiba di lokasi pada 9.57 pagi, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Mercedes Benz dinaiki empat lelaki masing-masing dengan lori tiga tan dan satu tan.
“Seorang mangsa berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota Kementerian Kesihatan.
“Dua lagi mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Tangkak dengan menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.
Beliau berkata seorang lagi mangsa berusia 37 tahun tidak cedera.
Beliau berkata sembilan anggota BBP Jasin Bestari termasuk tiga anggota EMRS, terlibat dalam operasi itu yang berakhir pada 11.39 pagi.