Hiburan

Sensasi seminggu: Kisah jam mewah Shuib, Siti Nurhaliza berhenti menyanyi?

SEPERTI biasa, minggu ini SUARA MERDEKA membawakan lima lagi kisah yang menjadi tumpuan netizen dan peminat dunia hiburan tempatan.

Macam-macam isu sebenarnya yang muncul minggu ini. Malah, ada kisah yang sudah berlanjutan sehingga dua minggu dan masih belum selesai.

Ada juga berita gembira, duka dan kisah mengenai penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Jom kita baca apa cerita yang paling sensasi sepanjang seminggu melibatkan selebriti tempatan.

Kereta disita, Shuib dan jam mewah jadi isu

Sebelum ini gempar apabila suami penyanyi Siti Sarah Raisuddi iaitu pelawak dan usahawan Shuib dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes pengubahan wang haram.

Menurut pelawak itu, dia cuma dipanggil untuk membantu siasatan sahaja dan tidak ditahan di atas kesalahan tersebut.

Malah, dalang pengubahan wang haram yang mencuci duit wang haram dengan melabur ke francais perniagaan air Shuib juga sudah ditahan SPRM.

Tetapi, biasalah kalau dah menjadi netizen… Bersalah atau tidak, siasatan akan terus dijalankan dan mereka menemukan kereta milik Shuib yang disita SPRM.

Kenderaan pacuan empat roda jenis Ford itu memang nampak ganas dan sama seperti yang digunakan oleh Shuib sebelum ini.

Malah, netizen juga sempat menggali gambar-gambar lama Shuib yang memperlihatkan dia bersama beberapa koleksi jam tangan mewah yang mencecahan harga puluhan ribu ringgit.

Bukan calang-calang Shuib punya citarasa ya. Perkara itu membuatkan Shuib mula dihentam kerana sikap riaknya dan persoalan berkenaan penglibatannya dalam aktiviti pengubahan wang haram mula dibangkitkan.

Tetapi, kalau diimbas kembali sejarah Shuib dalam dunia perniagaan, perniagaan air yang dimulakannya itu bukanlah benda baharu.

Sebelum ini juga dia sudah memiliki perniagaan madu, dobi, menjadi duta kedai serbaneka 24 jam, melawak dan menjadi penyampai radio.

Wang daripada situ pun rasanya sudah cukup banyak. Tetapi apa-apa pun, kita biarlah SPRM yang siasat.

Kita yang sudah sememangnya kurang duit ini, eloklah mencari duit lebih untuk diri sendiri dan keluarga.

Cukup-cukuplah guna ‘body shaming’ bahan melawak

Cuba kalau kita melawak itu, biarlah nampak bijak sikit. Janganlah duk guna fizikal individu lain sebagai bahan jenaka.

Cerita ini berkenaan dengan penyanyi, Usop yang bertanding dalam peringkat akhir sebuah program anjuran saluran tv swasta berbayar.

Dalam rancangan itu, seorang daripada pengacaranya ialah Sherry Alhadad yang semua tahu mempunyai fizikal berisi.

Ketika itu, Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor cuba membuat jenaka melibatkan fizikal Sherry sekaligus mencetuskan kemarahan netizen.

Tetapi, Usop kemudian tidak menunggu lama untuk menyedari kesilapannya dan segera meminta maaf kepada Sherry.

Sherry juga dengan hati terbuka memaafkan penyanyi muda itu. Baguslah macam itu, perkara macam ini tidak perlulah nak dilanjutkan lagi.

Cuma mungkin pada masa akan datang, pelawak atau sesiapa sahaja yang cuba menggunakan fizikal orang lain sebagai jenaka boleh cuba mencari idea baru.

Mungkin zaman filem hitam putih dahulu lawak sebegini boleh diterima lagi tetapi untuk zaman sekarang, rasanya unsur lawak itu lebih terarah ke penghinaan.

Fattzura kotakan janji, khabar duka Nabila Huda

Tahniah pasangan Nur Fazura dan Fattah Amin yang mengotakan janji untuk mendedahkan nama anak sulung mereka.

Kalau ada sesiapa yang terlepas, Fazura sebenarnya dah bersalin seminggu yang lalu dan dia beritahu yang nama bayi itu akan didedahkan selepas seminggu kelahiran.

Genap sahaja seminggu, Fazura beritahu yang nama anaknya ialah Nur Fatima Aisya. Sedap nama ni, ada bunyi ala-ala klasik sikit.

Tapi itulah, wajah Fatima nampaknya belum didedahkan secara penuh lagi. Hanya dapat tengok sisi-sisi sahaja.

Lain pula ceritanya dengan pelakon, Nabila Huda yang mengumumkan dia baru lepas keguguran buat kali kedua beberapa hari yang lalu.

Mengalir air mata Nabila ketika memberitahu perkara itu dan tambah menyedihkan, suaminya begitu inginkan anak selama mereka berkahwin.

Takpelah Nabila, semuanya sudah ditentukan Allah dan apa yang berlaku itu adalah yang terbaik. InsyaAllah, ada rezeki yang lain akan menyusul.

Tolonglah jadikan dugaan satu pengajaran

Pandemik Covid-19 memang satu ujian yang cukup besar buat semua manusia di muka bumi. Maklumlah, akibat pandemik itu semua aktiviti hampir tersekat di seluruh dunia.

Tetapi bagi pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, dia merasakan Covid-19 ini sesuatu ujian yang memberi seribu makna pengajaran buatnya.

Maklumlah, dia kini terpaksa berpisah dengan anaknya kerana pintu sempadan antara Malaysia dan Singapura masih lagi tidak dibuka sepenuhnya.

Jadi, terpaksalah dia berjauan dengan anak-anak dan isterinya. Kemudian tular pula video anaknya yang begitu rindu dengan kasih sayang seorang ayah.

Maka bertambah pilulah Aliff mengenang nasib dek kerana kesilapannya yang lalu.

Sebenarnya Aliff kena ambil apa yang terjadi ini sebagai satu iktibar apatah lagi semua tahu apa yang pelakon ini pernah lakukan sebelum ini.

Isu pergolakan rumah tangga, mencuri, bergaduh dalam keadaan khayal. Bertambah buruk, Covid-19 pula hadir tak diduga sehingga memisahkan dia dan keluarganya tanpa rela.

Aliff dalam satu kenyataannya berkata dia mengambil apa yang berlaku ini sebagai satu hikmah kepadanya untuk menjadi seorang bapa yang baik.

Malah, dia akui kesal dengan kesilapannya yang akhirnya membuatkan keluarga menjadi mangsa.

Siti berhenti menyanyi?

Biar betul Datuk Siti Nurhaliza yang juga penyanyi nombor satu negara hendak berhenti?

Sebenarnya bukanlah hendak berhenti terus. Sebaliknya penyanyi itu mahu berehat seketika selepas tampil dengan album ManifestaSITI2020.

Siti juga memberitahu yang dia tidak pasti elama mana dia mahu berehat daripada industri seni tempatan.

Untuk orang yang memiliki berpuluh lagu hit sepertinya, tidak mengapalah untuk berehat. Lagipun sokonga terhadap penyanyi itu selama ini tidak pernah pudar.

Malah, album fizikal (cd) ManifestasiSITI2020 yang berada di pasaran selama empat bulan telah mencatatkan jualan berjumlah lebih 5,000 unit.

Dalam era digital yang semakin menguasai pasaran muzik, semestinya jumlah itu adalah sesuatu yang sangat besar.

Kejayaan Siti bukan sahaja menunjukkan yang penjualan album masih laku, tetapi peminatnya tidak pernah berkurang biarpun dia sudah lebih 25 tahun dalam industri seni.

Siti juga sempat memberi petanda yang dia tidak akan melupakan peminatnya dan akan terus tampil dengan buah tangah baharu khusus buat mereka yang menyokongnya selama ini. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button