Sensasi seminggu: Dituduh jual diri, terima gambar kemaluan dan ingkar PKPB
DUNIA hiburan minggu ini nampaknya banyak tertumpu kepada soal maruah.
Manakan tidak, berapa banyak pulak kisah-kisah berkaitan dengan unsur-unsur seks yang menjadi isu minggu ini.
Bagi mereka yang terlepas, jom kita baca rangkuman seminggu berita-berita hiburan yang mendapat tumpuan di Suara Merdeka.
Menteri langgar kuarantin, artis pula ingkar PKPB
Minggu ini nama pelakon Bella Dally menjadi hangat kerana satu posting di akaun Instagramnya yang memaparkan dia berbasikal merentas daerah ketika perintah PKPB.
Netizen pun apa lagi, mulalah menyerang dan akhirnya Bella telah dipanggil polis untuk memberi keterangan berkaitan kes tersebut.
Bella selepas itu mengeluarkan permohonan maaf di atas tindakannya dan memberitahu yang dia sebenarnya tidak merentas negeri pun seperti yang dituduh.
Apa pun kes Bella ini menjadi pengajaran buat semua penggemar aktiviti berbasikal yang bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Hanya kerana kesilapan seseseorang, habis semua terpalit sama.
Siapa sebenarnya yang jual diri?
Lepas isu Macau Scam yang didakwa melibatkan selebriti, muncul pula isu skandal seks yang mengaut wang lumayan dengan menjual diri.
Ada beberapa nama yang dikaitkan dengan tuduhan tersebut antaranya ialah Scha Elinnea, Chaca Maembong dan Fara Mendoza.
Namun, setakat ini belum ada disahkan lagi siapa sebenarnya artis-artis yang terlibat dan dakwaan itu hanyalah sekadar tuduhan yang tidak berasas.
Isu berkenaan dengan maruah ini jangan dibuat main apatah lagi ianya boleh memberi kesan kepada kerjaya selebriti tersebut.
Kesemua selebriti yang dituduh itu telah membuat laporan polis untuk mempertahankan diri mereka dan bakal mengambil tindakan undang-undang.
Yang menariknya, kesemua yang dituduh memang semuanya pernah berpenampilan seksi tetapi janganlah disebabkan perkara itu kita boleh bebas mendakwa mereka terlibat aktiviti tak bermoral itu.
Perangai jijik sebarkan kemaluan sendiri
Tak tahulah mana letaknya akal pengguna akaun Instagram yang menghantar gambar kemaluannya kepada pelakon, Tiz Zaqyah.
Tiz memberitahu perkara itu menerusi akaun Instagram miliknya kerana sudah tidak tahan dengan perangai lelaki yang sering membuat wanita sebegitu
Untuk rekod, ini bukan kali pertama seorang selebriti menerima gambar kemaluan daripada seorang yang tidak dikenali.
Malah, terdapat beberapa selebriti seperti Faradhiya, Nad Zainal dan Nita Hamzah pernah berkongsi pengalaman sama.
Seronok juga tiada Instagram
Dalam kehidupan digital sekarang, media sosial memain peranan penting dan sudah menjadi sebahagian daripada keperluan manusia.
Baru-baru ini, pelakon dan pengacara, Scha Alyahya hilang daripada Instagram dan perkara itu menimbulkan tanda tanya peminat.
Keesokannya, Scha tampil semula dan memberitahu terdapat kesilapan teknikal yang membuatkan dia hilang daripada Instagram.
Tetapi ada satu ayat yang diungkap Scha iaitu menyatakan rasa seronoknya bila tidak berada di Instagram.
Tetapi itulah, sebagai seorang selebriti, laman sosial sudah dianggap sebagai sebahagian daripada lokasi kerja mereka.
Sama ada penuh laman sosial penuh toksik atau tidak, terpaksa selebriti berhadapan dengan semua itu.
Anak menangis lihat Ashira
Lumrah bila bertanding, perlu ditolak tepi semua masalah untuk memberikan persembahan yang terbaik di mata juri.
Itu yang terjadi kepada Ashira selepas anaknya menangis melihat persembahannya sewaktu di konsert Gegar Vaganza.
Manakan tidak, sudah beberapa minggu terpaksa berpisah kerana Ashira tidak mampu untuk tinggal bersama dengan anaknya.
Ashira sebelum ini mempunyai beberapa masalah kewangan yang memaksa dia tumpang tinggal dan hidup berasingan dengan anaknya.
Sama-samalah kita doakan yang terbaik buat Ashira dan semoga kembalinya dia ke dunia seni membuka pintu rezeki buatnya. -SM