Nasional

Senjata dalam melindungi spesies terancam di Malaysia

MALAYSIA melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjadi tuan rumah yang pertama di Asia bagi the 7th Society for Wildlife Forensic Science Conference and Meeting 2024 (SWFSC7) pada 24 Jun hingga 26 Jun 2024.

NRES dalam kenyataan memberitahu, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah membuktikan peranan penting Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan (MFHLK) di bawah Jabatan  PERHILITAN sebagai makmal forensik yang berprestij dalam menerajui inisiatif melindungi hidupan liar menggunakan teknologi sains.

SWFSC7 disertai oleh lebih 100 orang ahli sains forensik hidupan liar dari 27 buah negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara dari benua Afrika serta negara-negara rantau Asia untuk berkongsi idea dan amalan terbaik berkaitan isu-isu jenayah hidupan liar.

Teks ucapan perasmian Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim,

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam ucapannya memberi penekanan kepada kepentingan sains forensik bagi meningkatkan kejayaan pendakwaaan kes-kes yang melibatkan bahagian hidupan liar di mahkamah.

Oleh itu, beliau menyeru supaya usaha-usaha dalam bidang ini diperkukuhkan antaranya melalui pemerkasaan teknologi penyelidikan dan kerjasama strategik.

MFHLK berperanan menyediakan bukti forensik yang kritikal untuk siasatan jenayah hidupan liar.

Saintis MFHLK boleh menentukan spesies, jantina, serta asal (origin) hidupan liar atau bahagian hidupan liar yang dirampas dengan menganalisis bahagian hidupan liar seperti darah, tisu, tulang dan sebagainya untuk membantu kes pendakwaan.

Pembentukan Special Wildlife Intelligence Forensic Team (SWIFT) pada tahun 2013 telah mengukuhkan crime scene investigation (CSI) melalui penggunaan kaedah dan teknologi untuk memperkemaskan penyiasatan kes
melibatkan jenayah hidupan liar.

Sejak penubuhannya, MFHLK telah bekerjasama dengan 10 buah negara di rantau Asia dan Afrika.

Di peringkat negara, sebanyak 4,002 sampel telah dianalisis oleh MFHLK sejak 2016. Hasil analisis ini telah banyak membantu pihak pendakwaan Jabatan.

Selain itu, MFHLK juga telah meraih akreditasi ISO17025 dalam bidang DNA hidupan liar pada tahun 2021 daripada Jabatan Standard Malaysia.

MFHLK turut memainkan peranan penting dalam konservasi Harimau Malaya.

Pangkalan data genotype Harimau Malaya (MyTAGS) telah dibangunkan oleh MFHLK untuk membantu menjejaki susur galur dan mengenal pasti individu Harimau Malaya untuk membantu usaha pemuliharaan spesies ikonik ini.

NRES melalui Jabatan PERHILITAN akan terus memperkasakan MFHLK melalui penambahan kepakaran dan tenaga kerja berkemahiran, jalinan kerjasama antarabangsa dan perkongsian pengetahuan melalui penganjuran latihan untuk saintis hidupan liar di peringkat serantau dan antarabangsa. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button